Khamis, 9 Mei 2013

Orang melayu takut dengan bayang-bayang sendiri



Oleh Hasbie Muda

Saya tidak bersedih dengan keputusan PRU13. Tetapi saya sangat sedih dengan mentaliti kebanyakan orang Melayu. Ternyata masih sedikit orang Melayu yang celik politik walaupun majoritinya sudah celik maklumat. Sebenarnya sepanjang sebulan kempen pun saya menyedari kekurangan ini. Tidak sukar untuk berkempen di depan pengundi Cina.

Saya hanya perlukan sekitar 20 minit membentangkan pelbagai data-data ekonomi dan fakta sejarah mengapa perlu rehatkan BN. Mejoritinya faham dan menerima baik. Isu yang berlegar dalam kalangan mereka adalah isu ekonomi, pendidikan dan keselamatan.

Manakala dalam kalangan majoriti pengundi Melayu khususnya di pinggir dan luar bandar, isu yang berlegar-legar adalah isu-isu perkauman. Kelihatan orang melayu takut dengan bayang-bayang sendiri. Tiada keyakinan diri walaupun teras politik negara ini masih orang Melayu selain penduduk majoriti adalah Melayu.

Di hadapan mereka, saya mengambil masa yang lama untuk mengulas isu-isu yang mengarut itu. Ia memenatkan malahan sangat membuang masa.

Apabila saya meninjau laman-laman FB, isu-isu yang berlegar di kalangan orang Melayu adalah perkauman, ancaman DAP, kalimah Allah dan video seks. Hanya segelintir yang menilai polisi dan dasar antara parti yang bertanding.

Awalnya, saya sangkakan hanya cybertrooper Umno yang sengaja menimbulkan isu-isu nonsense tersebut. Rupa-rupanya saya tersilap. Masih ramai termasuk yang berpendidikan tinggi. Saya pencaya program Biro Tata Negara telah berjaya memperbodohkan sebahagian orang Melayu.

Saya sangat sedih dengan hal ini.

Saya sedih sebab ada pemimpin Melayu mengekalkan kuasa dengan memperbodohkan orang Melayu.
Biarlah siapa pun menang dalam pilihanraya tetapi jangan sesekali memperbodohkan bangsa sendiri.

Tiada ulasan: