Sabtu, 4 Mei 2013

Misteri tiket balik undi di Sabah percuma



 
Kira-kira 100 penduduk Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia tiba di Kota Kinabalu hari ini dengan penerbangan misteri melalui pesawat yang disewa.

Rakyat Sabah, asalkan pengundi berdaftar, tanpa banyak soal mendapat tiket percuma pergi dan balik untuk mengundi dalam pilihan raya umum ke-13 pada Ahad.

Perkara ini tentulah menimbulkan tanda tanya di kalangan warga Negeri di Bawah Bayu itu berhubung identiti penaja misteri bagi acara yang dinamakan "Program Jom Balik Kampung: Sayang Kinabalu".

Walaupun ada yang mengaitkannya dengan BN, bagaimanapun tiada bukti atau tanda-tanda jelas kelihatan berhubung dakwaan itu.

Malah, penerimanya mengaku selesa dengan program itu dan tidak langsung diberikan tekanan untuk mengundi mana-mana pihak. Malah, menurut pesertanya, tiada sebarang taklimat atau ceramah yang perlu dilalui.

Menurut seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Victor, 45, walaupun tahu di saat akhir, beliau teruja dengan program itu yang boleh dimanfaatkan juga untuk menjenguk saudara-mara di kampung.

Pekerja di Ulu Kelang itu berkata, beliau tidak tahu menahu berhubung penajaannya kerana agensi yang mengendalikan program tersebut hanya memastikan beliau mendapat tiket pergi dan balik.

"Saya tidak menerima pengaruh untuk mengundi mana-mana parti," kata pengundi Parlimen Papar itu.

Bagaimanapun, rakannya Kerajaan Amsiahi, 28,yang bekerja bersama-sama dengan Victor di Ulu Kelang yang mengikuti program sama pula yakin ia ditaja oleh BN.

"Saya dapat tahu program ini ditaja oleh BN tetapi saya tidak dipengaruhi untuk undi sesiapa," katanya lagi.

Bagi Vonney Stefani Pajoi, anak kelahiran Penampang, beliau bersyukur kerana program tersebut turut menaja tiga orang anaknya yang masih kanak-kanak.

"Saya cukup gembira kerana dapat membuang undi. Anak-anak saya juga dapat tiket. Lagi pula sudah dua tahun saya tidak balik, dan inilah masanya saya dapat pulang ke kampung.

"Pada masa yang sama juga pergi mengundi," katanya yang bekerja di Nilai, Negeri Sembilan.

Vonney berkata beliau mengetahui program itu melalui papan tanda yang diletakkan di gereja yang dihadirinya di semenanjung.

Bagi Samuel kapong, 25, yang berasal dari Keningau, program itu membuatkannya beliau membatalkan hasratnya menukar tempat pembuangan undi ke Kuala Lumpur dalam pilihan raya umum pada masa-masa akan datang.

Beliau mendapat tahu program itu melalui Facebook dan mendengar ia ditaja oleh Datuk Seri Najib Razak.

Berbeza dengan orang lain, Samuel berkata beliau ditanya tentang calon pilihannya tetapi hanya menjawab "undi adalah rahsia".

Tiada ulasan: