Sabtu, 25 Mei 2013

Anwar bertegas tidak akan undur

NORUTUL ILHAM MAD JARI

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 
PETALING JAYA - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan berundur daripada persada politik tanah air.

Katanya, tindakan itu kerana mendakwa Pakatan Rakyat (PR)  kalah dengan penipuan dalam pilihan raya lalu.

"Jika tanpa ada penipuan, kita akan berada di Putrajaya hari ini, saya bukan tidak boleh terima kekalahan, tapi jika pilihan raya kalah dengan proses yang dijalankan secara telus saya akan bersara.

"Tapi dalam kes ini, kita menang, apa sebab saya nak undur, dia (Barisan Nasional) dapat undi 47 peratus dengan tipu takkan hendak minta orang (PR) dapat undi 51 peratus undur, kamu tidak malu ke?

"Saya putuskan kita tidak akan undur," katanya ketika menyampaikan ucapan pengggulungan pada Kongres PKR ke-9 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan pernah menyuarakan hasrat meninggalkan dunia politik dan kembali mengajar sekiranya pakatan pembangkang gagal menguasai Putrajaya tetapi tidak menyatakan sama ada di universiti dalam atau luar negara.

Anwar juga pernah menjadi pensyarah jemputan di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, katanya beliau bukan mengubah fikiran, tetapi mahu teruskan perjuangan kerana mendakwa penipuan didalangi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membantu kemenangan BN.

"Bagi kita, kita sudah menang pilihan raya, tetapi kekalahan  ini melibatkan bawa masuk (orang) Bangladesh, ini penipuan," dakwanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa, sekiranya kerusi parlimen yang ditandingi turut dicurigai berlaku penipuan, beliau sedia jika berhadapan dengan pemilihan semula.

"Saya sedia bertanding semula, tetapi jika parti memilih saya kembali," katanya.

Tiada ulasan: