Roketkini.com
GEORGE TOWN, :
Nampaknya begitu terdesak sekali Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang
menabur janji sehingga tidak sedar bahawa bagi melunaskan janjinya itu,
4,000 keluarga bakal hilang tempat tinggal.
Perdana Menteri sementara, Najib Razak telah mengejutkan
kerajaan negeri Pulau Pinang dengan mengumumkan pembelian tanah di tiga
kawasan kononnya bagi membina rumah kos rendah dan rumah mampu milik.
Setiausaha Agung DAP merangkap Pengerusi Pakatan Rakyat
Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya berkata, tindakan
itu adalah suatu penghinaan terhadap 4,000 keluarga yang bakal diusir
bagi memberi jalan kepada janji Najib itu.
“Mengapakah BN dan Najib berperangai buruk sebegitu dengan
tidak berunding dahulu dengan 4,000 keluarga tetapi hanya terus mahu
meranapkan rumah mereka dengan satu pengumuman sahaja tanpa memaklumkan
mereka?” ujar beliau.
Dalam satu majlis BN semalam, Najib mengumumkan bahawa
melalui 1Malaysia Development Berhad, beliau telah menandatangani
perjanjian beli tanah di Air Putih, Ayer Itam dan Paya Terubong bagi
membina 2,222 rumah kos rendah dan sederhana serta 1,111 rumah mampu
milik.
“Jelas sekali Najib sangat terdesak sehingga membuat janji
kosong untuk membina 9,999 rumah mampu milik, satu janji yang tidak
bernilai kerana ia dibuat betul-betul sebelum pilihan raya umum,” tambah
Guan Eng.
Kitaran semula janji BN terhadap warga negeri Pulau Pinang
terus diulang dengan tanpa segan silu termasuk untuk membina rumah tiga
bilik bagi menggantikan rumah pangsa satu bilik di Kampung Melayu Ayer
Itam serta janji membina monorail di Pulau Pinang.
Menurut Guan Eng, kali terakhir janji itu diucapkan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop pada 2008 dan
sehingga kini tidak pernah ditunaikan.
Beliau turut mencabar Najib untuk melaksanakan janji
tersebut terutamanya projek monorail yang dijanjikan pada tahun 2006,
yang gagal dilaksanakan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga Najib Razak
setelah mengambil alih kuasa.
“Jelaslah bahawa monorail atau tram hanya akan diwujudkan
di Pulau Pinang apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri
yang baru pada 5 Mei ini,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan