Dalam pilihan raya umum ke-13 ini, beberapa calon Bebas muncul bertanding selepas digugurkan dan tidak dicalonkan oleh parti masing-masing.
Ironinya, calon-calon Bebas ini - yang kebanyakannya terdiri daripada ahli-ahli yang tidak puas hati - mungkin menarik undi dari rakan-rakan parti mereka dan seterusnya menguntungkan pesaing mereka.
Peningkatan pengundi baru - dari 6,714 (Bukit Bendera) kepada 18,594 (Bayan Baru) - juga telah menambahkan unsur ketidakpastian dalam pilihan raya dengan persoalan sama ada kehadiran mereka akan mengubah landskap politik di Pulau Pinang.
Secara umumnya, 40 peratus pengundi adalah dalam kumpulan umur yang lebih muda dan sebahagian daripada mereka telah berkempen secara aktif sama ada untuk BN atau Pakatan.
Ramai yang dilihat memasang bendera pada lewat malam (dengan bayaran RM50 hingga RM80 bagi setiap bendera), manakala yang lainnya menunggang motosikal mengiringi kunjungan pemimpin partipolitik.
Walaupun pengundi muda dilihat lebih anti-establishment, tetapi ia boleh berlaku sebaliknya.
Dengan pelbagai pemberian oleh BN seperti wang tunai, makan malam percuma, cabutan bertuah dan mega konsert, sehingga kepada elaun untuk petugas parti, maka adalah sukar untuk mengatakan siapa yang mereka akan pangkah.
Kerusi-kerusi utama yang menjadi perhatian di Pulau Pinang adalah Tasek Gelugor, Nibong Tebal dan Balik Pulau:
Tasek Gelugor
Ia akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Shabudin Yahaya, calon PAS Datuk Abdul Rahman Maidin dan calon Bebas Datuk Shariff Omar, bekas ahli parlimen kawasan tersebut.
Pada tahun 2008, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob memenangi kerusi itu dengan menewaskan calon PAS Ismail Salleh dengan majoriti 4,547 undi.
Nor Mohamed bagaimanapun digugurkan kali ini dan penggantinya Shabudin masuk gelanggang dengan berdepan dengan pertelingkahan dalaman dan kekurangan kerjasama daripada ahli-ahli parti.
Manakala Shariff (kiri), yang juga bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, telah mengisytiharkan dirinya sebagai mesra Pakatan dan kempennya menarik sokongan yang lebih baik berbanding dengan calon BN.
Shariff telah dipecat daripada Umno kerana bertanding bebas dan secara terbuka mengkritik kepimpinan kerana meletakkan calon "menang-kabel" (win-cable) dan bukannya calon "winnable" di beberapa kerusi.
Menurut Shariff, calon-calon "menang-kabel" adalah mereka yang mempunyai hubungan yang kuat dengan personaliti tertentu yang berkuasa dalam Umno.
Bagaimanapun, Shariff boleh menarik undi Umno Shabudin, dan memberikan kemenangan kepada Abdul Rahman, yang juga bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu, di kerusi Tasek Gelugor, yang mempunyai 54,141 pengundi, yang terdiri daripada 78 peratus Melayu, 15 peratus Cina dan 7 peratus kaum India.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan