Sabtu, 2 Mac 2013

SPR tunjukkan diri sebagai benteng terakhir BN?



Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB 

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah membuat saranan agar mana-mana parti tidak mengadakan demonstrasi sekiranya kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Kenyataan ini menunjukkan kecenderungan SPR dalam menjustifikasi perbuatan badan itu yang selama ini menjadi benteng terakhir kepada parti pemerintah untuk kekal berkuasa.

Seperti kata Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa, kenyataan tersebut sekali gus membungkus terus harapan rakyat untuk melihat suatu pilihan raya yang adil dan bersih berlaku dalam PRU13.

Malah selaku parti lawan kepada pemerintah, PAS dan Pakatan Rakyat melihat bahawa ia sebagai satu ‘hint’ kepada keputusan pilihan raya akan datang.

Pilihan Raya Umum Ke-13 dijangka menjadi pilihan raya yang paling kotor dalam sejarah jika pengendalinya masih lagi statik prinsipnya yang bias kepada kerajaan memerintah.

Telahan Husam ini ada benarnya dengan melihat kepada analisis bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa perubahan yang kini dilakukan SPR bukanlah merujuk kepada perkara pokok yang menjamin pilihan raya di negara ini adil dan bersih.

Isu paling pokok dalam perjalana pilihan raya yang adik dan bersih adalah daftar undi dan akses media yang sehingga ke hari ini tidak diselesaikan oleh SPR.

Apabila Pakatan Rakyat menimbulkan isu daftar pemilih yang kotor, ada sahaja jawapan oleh SPR yang menjustifikasi perbuatan mereka bersama agensi lain kerajaan sebagai molek dan tiada cela.

Malah alasan kononnya jika pilihan raya berjalan dengan tempang, masakan pembangkang boleh menang dalam pilihan raya dibeberapa buah negeri langsung tidak logik.

SPR harus ditanya sama ada perubahan atau sebaliknya dalam isu akses media, penggunaan jentera kerajaan ketika waktu berkempen, rasuah dan habuan projek segera ketika musim pilihan raya, memindahkan pengundi, mendaftarkan pengundi warga asing dan lain-lain seperti yang didakwa oleh ramai pihak.

Paling kritikal isu daftar undi, dimana berlaku peningkatan yang sangat ketara sejak tahun 2011 hingga 2012 yang mana Selangor mencatat pertambahan luar biasa.

Jumlah pengundi di Selangor, Johor, Perak, Sabah, Sarawak, Kelantan dan Kedah masing-masing meningkat sekurang-kurangnya seramai 150,000 pengundi.

Kesemua mereka mendaftar sebagai pengundi selepas pilihan raya umum 2008.

Daripada tujuh negeri berkenaan, Selangor mencatatkan peningkatan terbesar bilangan pengundi baru iaitu sebanyak 29.06 peratus iaitu daripada 1,565,494 pada tahun 2008 kepada 2,020,500 pada suku ketiga tahun lalu.

Jumlah pengundi seramai 10.9 juta sewaktu pilihan raya umum 2008 meningkat perlahan-lahan kepada 11.1 juta pada 2010 sebelum ia meningkat mendadak pada kira-kira 700,000 setiap tahun.

Terbaharu, Naib Presiden KeADILan Fuziah Salleh mendedahkan di sebalik peningkatan pemilih baru begitu mendadak yang dikatakan SPR sebelum ini, sebenarnya melibatkan kesalahan jenayah yang termaktub di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Fuziah sendiri menyebut bahawa penolong pendaftar dipercayai membuat daftar pemilih tanpa pengetahuan penama itu sendiri atau dalam erti kata lain membuat kenyataan permohonan pendaftaran pemilih secara palsu.

Pakatan Rakyat menerima beratus-ratus aduan berhubung perkara ini yang melibatkan pelajar di luar negara, pemilih cukup umur tetapi didaftarkan tanpa pengetahuan mereka, kumpulan dewasa yang tidak pernah mendaftar dan beberapa ahli Puteri Umno yang juga didaftarkan tanpa pengetahuan mereka.
Paling ramai melibatkan penuntut universiti manakala kira-kira 10 kes melibatkan ahli Puteri.

Isu ini sebenarnya bukan baharu, bermula dengan projek IC di Sabah, hinggakan beberapa kes selepasnya di Likas, di Terengganu (tahun 2004) dan di Selangor yang terbaharu dalam kes pemindahan dan pendaftaran pengundi baharu yang luar biasa.

Tiada ulasan: