SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (Kupekmas) hari ini
meminta supaya 5,000 pesara Badan Berkanun yang Diasingkan Saraan (BBDS)
disenaraikan sebagai penerima tetap pencen.
Presiden Kupekmas, Datuk Omar Osman, yang juga Presiden CUEPACS,
berkata kumpulan itu tidak harus dipinggirkan dalam pelaksanaan Dana
Pencen bagi kakitangan BBDS seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.
"Pesara BBDS sudah banyak menabur bakti kepada agensi masing-masing
sehingga agensi berkenaan berjaya sehingga ke hari ini," katanya pada
sidang media berhubung isu tuntutan pencen oleh pesara BBDS di Wisma
Perkeso di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Pesara BBDS, Mohd Noor Abdullah.
Omar berharap kumpulan itu akan mendapat sedikit penghargaan daripada pengumuman Perdana Menteri itu.
Baru-baru ini, Najib mengumumkan bahawa kira-kira 40,000 pegawai dan
petugas di bawah tujuh agensi BBDS bakal menerima kemudahan pencen,
imbuhan tetap perumahan, bayaran sagu hati tamat perkhidmatan dan
penyelarasan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengikut
tempoh perkhidmatan.
Tujuh agensi di bawah BBDS ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera
(LTAT), Bank Simpanan Nasional (BSN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), KWSP, Tabung Haji dan
Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (Perhebat). - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan