Kata Mohamad Hasan yang masih menganggap dirinya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan walaupun tempoh kerajaan UBN Negeri Sembilan yang bermandatkan kuasa rakyat selama lima tahun berakhir semalam, hari pertama kerajaan lupus tarikh itu berjalan seperti biasa.
Bekas MB Negeri Sembilan? |
Katanya beliau dan 10 anggota exco tetap melaksanakan tugas seperti hari-hari lain sebelum ini sekalipun Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah terbubar.
"Tiada masalah. Cuma yang membezakan adalah peranan kita iaitu sebagai kerajaan sementara ini kita tidak boleh membuat keputusan besar-besar terutama berkaitan soal dasar yang boleh memberi implikasi kepada rakyat dan kerajaan akan datang," katanya dipetik.
Pernyataan Mohamad Hasan itu sedikitpun tidak menggambarkan dia ralat atau rasa malu kerana tempoh sebenar dia menjadi MB sudah tamat apabila tempoh kerajaan Negeri Sembilan sudah genap lima tahun pada pukul 12:00 malam tadi.
Menurut perlembagaan sesebuah kerajaan negeri atau kerajaan Federal itu akan terbubar dengan sendiri apabila tempohnya selama lima tahun tamat. Menurut perlembagaan SPR perlu memanggil satu pilihan raya bagi pembentukkan kerajaan baru dalam tempoh 60 hari.
Tunku: Amal politik bermaruah. |
Sementara tempoh sementara berlangsung pilihan raya kerajaan sementara (caretaker government) dibentuk dengan atau pun atas kuasa kerajaan Yang Dipertua Agong atau Sultan. Mohamad perlu mengangkat sumpah semula di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan jika tidak ia dianggap sebagai kerajaan haram.
Bagaimana pun pandangan pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari ini tidak diendah bahkan dipersendakan oleh Mohamad Hasan.
Kenyataan Mohamad Hasan itu yang mengakui dia tidak merasa apa-apa - malu dan ganjil adalah sesuai dengan apa diamalkan oleh partinya yang kebetulan menjadi kerajaan selama ini, iaitu UBN.
Kalau Mohamad Hasan bermaruah dan ada air mata sama seperti partinya yang memerintah beliau seharus tidak perlu bercakap atas nama sebagai MB sebab dia bukan MB yang sah lagi. Tetapi kerana itu yang diamalkan parti, tidak menghormati semangat demokrasi dan hidup sering mencari celah atau lubang hendak melepas diri menyebabkan dia tidak merasa apa-apa dan tidak bersalah dengan apa yang berlaku.
Sebagai anggota Dewan yang telah tidak memegang jawatan MB lagi, Mohamad Hasan tidak layak bercakap atas kapasiti sebagai MB lagi. Bukan sahaja keputusan besar mengenai kepentingan rakyat beliau tidak dapat melaksanakan, tetapi perkara kecil juga termasuk kereta kerajaan dan kemudahan lain juga tidak sepatutnya diguna lagi.
Mohamad Hasan patut belajar daripada bekas PM bukan yang keempat tetapi yang pertama, Tunku Abdul Rahman dahulu. Almarhum Tunku apabila parlimen dibubarkan beliau tidak lagi memasuki pejabat perdana menteri dan tidak menggunakan segala kemudahan kerajaan untuknya. Beliau juga tidak lagi bercakap atas nama Perdana Menteri tetapi sebagai Pengerusi atau Presiden Umno.
Beliau juga mengarah menterinya tidak menggunakan kemudahan atau pun mengumumkan apa-apa projek tetapi berdiri atas anggota parti menurut jawatan masing-masing.
Namun amalan dan akhlak Tunku Abdul Rahman tidak lagi dipatuhi sesudah beliau berundur dari jadi perdana menteri. Bahkan penggunaan kemudahan kerajaan untuk perdana menteri, menteri dan sebagainya menjadi satu tradisi pula di zaman Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri. Mahathirlah yang merombak akhlak Umno yang dibentuk oleh Tunku Abdul Rahman.
Mengenai hal ini Nik Abdul Aziz Nik Mat masih meniru akhlak dan politik gentlemen yang ditunjuk oleh Tunku Abdul Rahman. Walaupun tidak semua Nik Aziz 'memansuhkan' kemudahan kerajaan untuknya sebagai MB, tetapi beberapa kemudahan dan fasalitis lain beliau tinggalkan secara automatik.
Mungkin ramai orang tidak tahu apabila Dewan Undangan Kelantan (DUN) dibuarkan dan caretaker gorvernment mengambil kerajaan Kelantan beliau tidak lagi menggunakan kemudahan rumah Kelantan di Kuala Lumpur. Sebaik sahaja DUN dibubar dan tempoh perkhidmatannya sebagai MB tamat, beliau tidak lagi tinggal atau mendiami rumah Kelantan apabila berada di Kuala Lumpur.
Tokguru akan mencari kediaman khas di Kuala Lumpur untuk berkempen. Kebiasaanya PAS akan menyewa rumah khas untuk beliau. Di rumah itulah beliau akan menginap sepanjang berada di Kuala Lumpur, manakala rumah Kelantan tidak dimasuki lagi.
Apa dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman dan Nik Aziz itulah yang wajar diikuti oleh Mohamad Hasan dan mana-mana MB atau Ketua Menteri yang sudah cukup tempoh perkhidmatan dan yang menjalankan tugas sebagai MB sementara kelak. MB sementara bolehlah dianggap MB tol atau pun MB yang tidak ada gran.
Ibarat tanah kalau bertol dan tidak ada gran tanah itu tidak laku digadai lagi. Apakah Mohamad Hasan dan MB-MB dan Ketua Menteri lain khususnya dari UBN selepas ini tidak akan merasa malu? Apa yang berlaku di Negeri Sembilan itu menunjukkan transformasi yang dilaungkan Najib masih belum terlaksanakan lagi dan ianya hanya jebak di gigi pantai sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan