Rakyat faham k’jaan sementara tiada mandat- pensyarah
Ruqayya RahmanKUALA LUMPUR : Rakyat kini mulai faham bahawa kerajaan sementara bukan kerajaan yang diberi mandat secara sah, kata Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir.
“Rakyat hari ini bijak, mereka tahu dengan jelas bidang kuasa kerajaan dan mereka cakna tentang hak mereka.
“Selepas berakhir tempoh kerajaan yang sah, rakyat akan mula pertikai setiap apa yang ‘kerajaan sementara’ lakukan,
“Kerajaan sementara ini bukan lagi kerajaan yang diberi mandat kerana rakyat tak pilih mereka. Lebih buruk kalau mereka tidak dipercayai oleh rakyat,” kata pensyarah Sains Matematik itu.
Dewan Undangan Negeri Sembilan semalam menjadi DUN pertama dalam sejarah Malaysia yang terbubar secara automatik selepas tamat tempoh lima tahun persidangan bermula 27 Mac 2008.
Sebelum ini, media arus perdana melaporkan DUN negeri itu mula bersidang pada 25 Mac 2008, menyebabkan timbul pelbagai kekeliruan tentang tarikh bagi pembubaran DUN secara automatik.
Kerajaan sementara, adalah kerajaan yang ditubuhkan sebaik dewan negara atau dewan negeri dibubar, atau dalam konteks di Negeri Sembilan, terbubar dengan sendiri selepas tempoh lima tahun tamat dari tarikh ia mula bersidang.
Kerajaan ini hanya menjalankan tugasan rutin dan tidak membuat keputusan penting sepertimana kerajaan yang mendapat mandat dari rakyat.
Misalnya tidak boleh membuat dasar baru, meluluskan sebarang projek mengguna dana kerajaan atau menandatangani perjanjian dengan pihak luar.
Ia juga tidak boleh mengguna jentera kerajaan untuk menjalankan kempen politik kepartian.
Alinor dalam pada itu berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membiarkan DUN Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri, tanpa mengumumkan pembubaran parlimen, berpotensi menimbulkan banyak kekeliruan.
“Bukan hanya negeri di semenanjung, Sabah Sarawak yang etniknya rencam, akan timbul lebih banyak kekeliruan dan kekalutan. Saya tertanya-tanya, Najib fikir atau tidak semua perkara ini?” katanya.
Beliau dalam pada itu mengulas kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa amalan membiarkan parlimen terbubar sendiri mempunyai implikasi positif, terutama dari segi pembangunan negara.
“Jika ia (parlimen terbubar sendiri) boleh jadi amalan, kenapa zaman Tunku Abdul Rahman dulu tak amalkan?,” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan