Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Umno BN mesti bertanggungjawab di atas kenyataan
Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Zulkifli
Nordin yang menghina agama Hindu, kata N Surendran.
Dalam ceramahnya menerusi video
yang tersebar di internet semalam, Zulkifli memperlekehkan kesucian
agama Hindu dengan menggambarkan penganutnya menyembah tuhan mereka yang
hanya diperbuat daripada batu.
Kata Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu, bencana alam yang melanda
kedai jual patung tuhan Hindu juga turut dilanda banjir, sedangkan
premis itu menjual peralatan kebanggaan agama Hindu.
Surendran berkata, penghinaan Zulkifli itu boleh mencetuskan api perkauman kerana mempersenda kesucian agama mereka.
“Umno BN tidak boleh lari dari tanggungjawab ini. Ini serangan kejam
Zulkifli yang melakukan penghinaan besar kepada masyarakat India
Malaysia, yang majoritinya beragama Hindu.
“Dalam kes ini, Zulkifli terlalu menghina dan mencemuh rakyat Hindu
dan agama mereka. Serangan beliau paling teruk pernah dilakukan kepada
agama di negara ini,” kata Naib Presiden KEADILAN itu pada kenyataan.
Ekoran itu, Surendran menggesa polis dan Peguam Negara segera
menyiasat Zulkifli yang jelas melakukan kesalahan di bawah Seksyen 298A
Kanun Keseksaan.
“Perkataan yang diucapkan Zulkifli jelas satu kesalahan di bawah
Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian,
perasaan permusuhan dan kebencian berkaitan agama.
“Kami menyeru Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk siasat
segera dan menahan Zulkifli di bawah seksyen tersebut,” tegas Surendran.
Pada 2010, Zulkifli dipecat daripada KEADILAN ekoran kesalahan
berulang-ulang melanggar dasar dan pendirian parti. Kemudian beliau yang
lantang memburukkan KEADILAN semakin mesra dengan Umno.
Kini Zulkifli menganggotai NGO Perkasa, sekutu rapat Umno, yang
dilihat ‘kebal’ undang-undang apabila seringkali mengeluarkan kenyataan
berbaur perkauman tetapi tidak dikenakan apa-apa tindakan. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan