Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Kerajaan wajib membentangkan hasrat membeli 18
pesawat tempur baru menggantikan pesawat yang didakwa usang di Parlimen
bagi mengelakkan skandal seperti Scorpene berulang.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, pembelian
pensenjataan pertahanan negara hendaklah melalui pembentangan kepada
semua Ahli Parlimen dan jika itu tidak berlaku ia merupakan kesalahan.
“Sekalipun
pembelian jet sangat diperlukan, kerajaan mesti pertimbangkan objektif
utama dengan membawa isu ini ke Parliemen untuk dibentang terlebih
dahulu.
“Buat perbandingan sama ada pembelian jet lebih penting ataupun
mengukuhkan sistem risikan negara lagi penting supaya tidak terjadi
insiden pencerobohan seperti di Lahad Datu,” katanya dihubungi.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Malaysia menyenarai pendek
lima pengilang bagi mendapatkan 18 pesawat tempur menjelang 2015 bagi
menggantikan MIG-29 buatan Rusia yang sudah berusia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut dilaporkan masih belum dapat memastikan kos sebenar pesawat tersebut.
Bagaimanapun, sumber industri memberitahu, pembelian itu boleh menjangkau angka berbilion dolar.
Tambah Johari, pembelian jet tersebut mesti diumumkan supaya tidak berlaku tragedi memalukan negara seperti kejadian terdahulu.
“Kita tidak mahu jadi seperti kapal selam Scorpene yang dibeli
berbilion ringgit tetapi tidak boleh menyelam, ada jet tapi sistem
kawalan tetap lemah.
“Lebih baik perbaiki apa yang perlu dan utamakan kebajikan pasukan
keselamatan yang menjalankan tugas secara serba kekurangan,” katanya. –
NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan