Selasa, 29 Mei 2012

Khaled: PTPTN hanya untuk kos sara hidup

Wartawan Sinar Harian

Debat Sinar: Umno tetap mahu PTPTN kekal, Pakatan kata tidak
 
Debat Sinar berkenaan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN) antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi
PKR, Rafizi Ramli.
 
 
PETALING JAYA - Sebanyak 90 peratus kos pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebenarnya ditanggung kerajaan, maka itu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh dianggap hanya untuk tanggung kos sara hidup pelajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata, PTPTN hanya menanggung baki kos pengajian yang kecil, kira-kira 10 peratus daripada kos keseluruhan pengajian di IPTA.

"Tidak seperti negara-negara lain, kerajaan (Malaysia) bagi pinjaman kepada mahasiswa untuk menanggung kos sara hidup, setakat ini tidak ada mana-mana negara yang memberi pinjaman sara hidup kepada mahasiswa dengan jumlah yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek pembangunan Pusat Kecemerlangan Industri Pemborongan dan Peruncitan (ICoE) di sini, hari ini.

"Satu peratus hanya amaun yang kecil bagi mereka (mahasiswa) untuk membayar kos pengurusan pinjaman itu," kata Mohd Khaled.

Mohd Khaled berkata untuk itu, beliau tidak nampak keperluan isu pemansuhan satu peratus ujrah yang dikenakan ketika pembayaran pinjaman PTPTN.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemansuhan satu peratus ujrah pinjaman PTPTN yang diutarakan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dalam sesi Debat Sinar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengenai Pemansuhan PTPTN & Hala Tuju Pendidikan Tinggi, Selasa lalu.

Dalam pada itu, susulan Debat Sinar Selasa lalu, ramai berpendirian bahawa kemudahan pinjaman PTPTN tidak wajar dimansuhkan, sebaliknya kos pengurusannya iaitu satu peratus harus dihapuskan.

Pungutan suara kendalian Sinar Harian Online (www.sinarharian.com.my), yang diadakan sebaik sahaja berakhirnya Debat Sinar berkenaan tema “Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi” pada Selasa lalu, menunjukkan 45 peratus mahu kos pengurusan PTPTN dihapuskan berbanding 43 peratus yang berpandangan kemudahan pinjaman PTPTN dimansuhkan sama sekali.

Sementara itu, program yang diadakan dengan kerjasama ICoE Mydin Mohamed Holdings bersama beberapa IPT seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara (UITM) Perak itu dijalankan dengan memberi fokus kepada pembangunan modal Insan dari peringkat lepasan sekolah, sijil, diploma dan Ijazah Sarjana Muda melalui latihan industri dan kerja sambilan.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Profesor Dr Rujhan Mustafa, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Dr Ameer Ali Mydin dan Presiden Malaysia Retailer-Chains Association Datuk Nelson Kwok.

Tiada ulasan: