Ahad, 27 Mei 2012

BERSIH 3.0: Mahathir kutuk anak sendiri?

Roketkini.com




KUALA LUMPUR: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya perhimpunan BERSIH 3.0 adalah “persediaan untuk menolak keputusan PRU13 jika parti lawan gagal memenanginya” menimbulkan persoalan sama ada bekas Perdana Menteri itu mengecam anaknya sendiri Datin Paduka Marina Mahathir yang menyokong dan menyertai perhimpunan tersebut pada 28 April lalu.

Malah, Marina juga telah menyokong dan menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0 pada Julai tahun lalu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, tuduhan Mahathir yang tidak masuk akal itu mencerminkan sikapnya sendiri dan membangkitkan pertanyaan sama ada anaknya Marina “tidak cerdik” kerana sanggup menjadi “alat” kepada BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat.

“Mahathir sepatutnya memuji Marina kerana semangat perjuangan dan patriotismenya menyertai BERSIH 3.0 dan BERSIH 2.0, dan bukannya menghentam anaknya serta ratusan ribu rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimana pun, katanya, dakwaan tidak berasas Mahathir itu telah menjadi bukti kelima yang melibatkan kempen pihak tertinggi untuk memomokkan BERSIH 3.0.

Dalam tulisan blognya baru-baru ini, Mahathir telah mendakwa kononnya “kekalahan (Pakatan) akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihanraya ditolak dan satu Kerajaan lain didirikan…Kemudian mereka akan berusaha untuk mengadakan pilihanraya sekali lagi yang boleh dimanipulasi oleh mereka…Malaysia akan bertukar menjadi negara yang tidak lagi stabil dan tidak dapat memajukan negara untuk kebajikan rakyat.”

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, empat bukti awal telah diberikan oleh para pemimpin besar yang memang berniat jahat terhadap BERSIH 3.0, iaitu:

·         Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menuduh bahawa BERSIH 3.0 adalah cubaan Pakatan Rakyat untuk menggulingkan kerajaan;

·         Bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar menyokong Najib dengan mendakwa bahawa BERSIH 3.0 didalangi oleh komunis; (Hanif telah dilantik menjadi pengerusi “panel penyiasat bebas” untuk menyiasat perhimpunan BERSIH 3.0!)

·         Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor menyokong Najib dengan mendakwa BERSIH 3.0 menggunakan taktik “Marxist” serta menuduh Pakatan Rakyat mahu pertumpahan darah kerana tidak yakin untuk menawan Putrajaya melalui pilihan raya (Rahim pernah dipenjarakan kerana menumbuk, memukul dan mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu dalam tahanan polis pada 1998); dan

·         Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam wawancara dengan akhbar milik MCA, Sudany Star pada 20 Mei, bahawa “demokrasi telah dirampas” pada 28 April (Hishammuddin pada mulanya berkata BERSIH 3.0 berhak mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April).

Kit Siang berkata, kesemua pemimpin itu sepatutnya menjadi saksi utama dalam siasatan perhimpunan BERSIH 3.0 kerana mereka telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian.

“Jika mereka gagal mengemukakan bukti untuk mempertahankan tuduhan-tuduhan mereka terhadap BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat, maka mereka perlu menarik balik kenyataan serta meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana telah berbohong dan memfitnah,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: