Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata peluang berkenaan adalah selaras dengan agenda kerajaan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
"Kerajaan akan mewujudkan satu kaedah kelulusan baharu dengan mengambil kira pengalaman kerjaya serta perniagaan seseorang lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi termasuk di universiti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 16 pelajar cemerlang SPM yang mengikuti Program Empower di bawah kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini, hari ini.
Saifuddin menjelaskan pendekatan baharu itu diharap dapat melahirkan tenaga kerja mahir setanding dengan status negara maju dan seterusnya mampu menjayakan agenda rakyat berpendapatan tinggi.
Katanya Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyediakan instrumen mengukur kelayakan atau 'Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Masa Lalu' sebelum memilih calon lepasan SPM mengikuti pengajian tinggi.
"Selain pengalaman kerjaya dan perniagaan, antara kriteria yang turut diambil kira termasuk pengalaman kursus keusahawanan dan kemahiran yang diambil oleh calon dari institusi kemahiran seperti GiatMara," katanya.
Saifuddin berkata konsep itu sama seperti pembelajaran sepanjang hayat itu sebenarnya sudah lama diamalkan di negara maju.
Beliau berkata lebih 80 peratus tenaga kerja di negara ini hanya memiliki kelulusan SPM dan ia bukan satu pencapaian yang baik dari segi memenuhi kriteria rakyat negara maju. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan