Khamis, 31 Mei 2012

BERSIH 3.0 vs Himpunan Jutaan Belia BN 1Malaysia



Oleh Iza Suraiya

 Perhimpunan BERSIH 3.0 di Kuala Lumpur pada 28 April lalu telah berjaya menghimpunkan hampir tiga ratus ribu orang tanpa mengira kaum, bangsa, agama, umur malah gender. Perhimpunan duduk-dan-bantah itu menghimpunkan orang awam yang mahukan sistem pilihan raya yang bersih menggantikan permainan kotor UMNO-BN. Mereka hadir ke perhimpunan tersebut kerana mereka tahu  dan jelas apa objektif yang ingin dibawakan.

Beberapa hari lalu, UMNO-BN cuba menarik perhatian anak-anak muda dan belia dengan menganjurkan program yang namanya Himpunan Jutaan Belia 1Malaysia. Anak-anak muda belia itu telah dihidangkan dengan persembahan artis-artis terkenal yang juga merupakan daya penarik untuk memastikan kehadiran anak muda pada perhimpunan tersebut.

Berbeza dengan BERSIH 3.0, himpunan propaganda UMNO-BN itu telah menggunakan wang cukai rakyat kerana ia dianjurkan oleh kementerian dan agensi kerajaan persekutuan. BERSIH pula lahir daripada semangat sukarelawan rakyat Malaysia yang mengeluarkan wang untuk membeli t-shirt, tambang bas atau LRT serta membeli minuman dengan wang saku sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak.

BERSIH milik siapa?

BERSIH 3.0 bukan milik mana-mana parti politik. Ia wujud atas kesedaran rakyat Malaysia yang prihatin. Ia tidak menerima peruntukan kerajaan atau wang cukai rakyat, malah Pakatan Rakyat atau BN tidak terlibat sama sekali dengan pucuk pimpinan jawatankuasa BERSIH.

Rakyat hanya mahu menyuarakan bantahan terhadap amalan pilihan raya kotor kerajaan UMNO-BN. Pada 28 April lalu, himpunan yang dijadualkan hanya akan berlangsung selama dua jam di Dataran Merdeka tetapi ia telah ditolak permohonannya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mengikut telunjuk tampuk kuasa Putrajaya di pada saat-saat akhir. Kononnya dikhuatiri akan berlakunya keganasan atau tercetusnya kekecohan di tengah-tengah bandar raya.

Walau bagaimana pun, sebenarnya hal ini juga sudah pastinya dijangka terjadi, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang cintakan ketelusan dalam pentadbiran dan terutamanya semasa pilihan raya, ia sebenarnya tidak langsung mematahkan semangat generasi muda terutamanya untuk memperjuangkan tuntutan lapan perkara untuk pilihan raya yang adil, bebas dan bersih. AMat jelas sekali matlamat BERSIH walau ia cuba dikotorkan oleh kerajaan UMNO-BN yang sudah biasa dengan politik kotor.

Himpunan siapa punya?

Hal tersebut tidak berlaku dalam Himpunan Jutaan Belia 1Malaysia yang jumlah kehadiran tidak ada kena-mengena dengan perkataan “juta”, mereka tidak diperjelaskan tujuan utama ia  diadakan. Seolah-olahnya anak muda yang dijemput hadir untuk mneikmati acara hiburan yang dipersembahkan kepada mereka dengan semuanya ditanggung oleh pembayar cukai Malaysia, dan kemudian dipropagandakan kepada mereka supaya mengundi BN dalam pilihan raya akan datang!

Dengan menyalahgunakan amanah wang rakyat untuk pembangunan dan kebajikan rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tanpa segan-silu telah mempergunakan acara himpunan belia itu untuk meminta mereka mengundi BN. Difahamkan, ramai juga belia di himpunan tersebut yang diberi t-shirt percuma “I Love PM”.

Berapa puluh juta ringgit agaknya wang cukai rakyat dikorbankan untuk kempen pilihan raya UMNO-BN yang menyamar sebagai himpunan belia? Mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya membisu dengan penyalahgunaan kuasa ini di mana kempen pilihan raya BN yang diadakan sekarang?

“Kerajaan BN boleh menjadikan hari esok lebih baik daripada hari ini,” kata Najib kepada anak-anak muda yang seronok dengan nyanyian artis dan persembahan lumba kereta drift, termasuk yang terbabas dan mencederakan ramai belia.

Apa mesejnya?
Lapan tuntutan BERSIH adalah:
1. Bersihkan senarai undi
2. Reformasikan undi pos
3. Gunakan dakwat kekal
4. Akses media yang bebas dan adil
5. Tempoh berkempen minimum 21 hari
6. Perkukuh institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor

Mudah, jelas dan mampu dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan yang berijiwa rakyat, beramanah dan telus. Hanya kerajaan yang zalim sahaja akan menolak tuntutan hasil iltizam rakyat sendiri.
Manakala himpunan beliau anjuran BN yang menyalahgunakan wang cukai rakyat pula adalah kempen politik untuk memujuk, menekan dan memaksa golongan muda mengundi BN.

Perbezaan yang amat ketara jelas di antara perjuangan rakyat dan politik gila kuasa UMNO-BN. Bagi BERSIH, ia adalah reformasi politik yang melibatkan rakyat jelata manakala bagi UMNO-BN, ia sanggup menyalahgunakan wang rakyat serta undang-undang untuk mengekalkan kuasa bila mana rakyat semakin hilang keyakinan terhadap pimpinan kerajaan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: