Oleh: Masdar Wahid
PETALING JAYA : Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan mengenai skandal Scorpene yang turut dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau turut mendesak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyenaraikan semua syarikat yang terlibat dalam skandal pembelian kapal selam berkenaan.
“Zahid perlu senaraikan semua syarikat yang terlibat dalam pembelian kapal selam ini kerana ia melibatkan penggunaan dalam jumlah yang besar wang pembayar cukai.
“Kita juga desak SPRM membuka semula siasatan skandal ini kerana jelas berlakunya penyelewengan dan rasuah termasuk Perdana Menteri, Najib Razak,” katanya dalam taklimat isu Scorpene di Pejabat KEADILAN di sini, hari ini
Dalam taklimat berkenaan, Cynthia juga mengesahkan nama wanita Mongolia yang mati dibunuh di Malaysia, Altantuya Shaariibuu tertera dalam beberapa kertas siasatan pembelian kapal selam itu.
Kematian Altantuya dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda yang juga kenalan rapat Najib.
“Sebab itu kalau anda lihat skandal ini, ia macam filem Hollywood di mana semua perkara penting untuk skrip memang lengkap dari skandal seks, pembunuhan dan rasuah membabitkan pemimpin tertinggi sebuah negara.
“Makanya, kalau ada pembikin filem Hollywood ingin membuat filem, mereka boleh ambil skrip dari kami,” katanya berseloroh.
Mengenai kemungkinan Najib boleh mengelak dari menghadiri kes perbicaraan skandal itu di Perancis Jun ini, Cynthia berkata ia agak sukar.
“Walaupun Najib ada imuniti, namun mahu tidak mahu dia tetap perlu datang kerana apabila pegawai berkaitan di Perancis mula memberi keterangan semua nama terlibat termasuk Najib, Razak Baginda dan Zahid Hamidi tetap muncul.
“Lagipun selaku pemimpin adakah Najib tidak malu bertemu rakyat Malaysia dalam mana-mana programnya apabila dia terlibat dengan skandal rasuah dan pembunuhan terhadap wanita,” soalnya.
Cynthia turut mengecam media arus perdana yang menggelapkan isu itu sedangkan ia merupakan kes besar melibatkan jenayah rasuah melibatkan nama pemimpin negara.
Berdasarkan tinjauan katanya, kesedaran rakyat Malaysia berhubung kes tersebut masih di tahap rendah.
Dari kajian yang dijalankan Suaram dan Merdeka Centre, hanya 52 peratus rakyat Malaysia yang sedar kes tersebut sedang dibicarakan di mahkamah itu.
Katanya, kaum Cina memiliki kesedaran iaitu 62 peratus, diikuti kaum India 46 peratus dan Melayu 40 peratus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan