Oleh Litmohd
Apakah benar momokan Umno ini atau ia sekadar serampang lima mata politik Michelvelli bagi menggambarkan hanya Umnolah yang menjuarai Islam di Malaysia?
Sedang hakikatnya Umno telah gagal menjuarai Islam di Malaysia apabila didapati ramai umat Islam di Malaysia yang longgar aqidahnya. Umno perlu bertanggungjawab kerana dialah yang menjadi pemerintah di Malaysia selama lebih 50 tahun dan mempunyai kuasa ke atas Orang Melayu dan Agama Islam.
Apakah cukup sekadar menjaja isu orang bukan Islam berucap di dalam surau atau masjid, orang bukan Islam menyebut kalimah Allah, membuat serbuan di gereja, menggantung kepala babi di masjid, mengheret kepala lembu di jalanraya dan seumpamanya lalu menjadikan babak itu satu senario buat Umno dan penjilatnya menjustifikasikan bahawa aqidah umat Islam telah rosak teruk?
Atau menjaja isu kerajaan PAS Kedah meroboh sebuah surau yang dijaja dengan murah oleh ulamak muda Umno, Sheikh Fathul Bahri sebagai menggambarkan PAS sudah tidak membela Islam lagi akibat bersekongkol dengan bukan Islam di dalam Pakatan Rakyat.
Atau sekadar mengutip pemikiran Dr. Hassan Ali yang dipecat dari PAS sebagai menjustifikasikan benar dakwaan mereka bahawa aqidah umat Islam semakin luntur antaranya berpunca dari tindak tanduk PAS.
Persoalannnya sejak bila Umno sudah pandai bermain dengan perkataan ‘aqidah’? sejak bila pula Umno mentelaah dan menghayati kitab-kitab yang ditulis oleh ulamak-ulamak besar berkaitan dasar-dasar Islam khususnya berkaitan batas-batas iman dan kufur.
Lupakah kita akan penghinaan terhadap Islam yang dilakukan oleh pemimpin atau bekas pemimpin Umno.
Antaranya, jika hendak makan sup tangan pergilah ke Kelantan, menyatakan jika wanita bertudung dan menutup aurat akan menjadi mundur, melarang pelajar universiti dari aktiviti qiamullail kerana akan melemahkan fizikal dan mental di siang hari dan berbagai lagi.
Lupakah kita pemimpin yang berkata jika laksanakan hudud habislah orang Islam di Malaysia akan kudung tangan. Tiba-tiba sekarang pemimpin itulah juga yang berasa bimbang tentang akidah umat Islam kononnya semakin teruk. Apakah baru sekarang disedarinya?
Merekalah yang pada satu ketika memberi pelbagai alasan dan helah untuk menyekat atau menangguh perlaksanaan seluruh syariat Islam termasuk hudud di Malaysia, tiba-tiba sekarang merekalah juga dengan disokong oleh pengampu dan pembodeknya menganjurkan himpunan di stadium atau demonstrasi jalanan kononnya untuk menyelamatkan aqidah orang Melayu.
Kononnya untuk menyelamatkan Islam, Melayu dan Raja sebaliknya mereka menjadi puak pelampau yang mencemarkan keharmonian kerukunan hidup pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Ketika meletup tuduhan skandal liwat Dato; Seri Anwar Ibrahim dari liwat 1 ke liwat 11, suratkhabar pembela Umno menghidangkan sepuasnya segala cerita di dalam kelambu itu sehingga murid sekolah pun ingin mengetahui dan merasai apa itu seks dan liwat.
Suratkhabar penjilat Umno ini oleh kerana tidak berapa laku di kedai maka di hantar percuma ke sekolah bagi memaksa guru-guru dan murid-murid menatapnya.
Memang kita pernah dikejutkan suatu ketika, bahawa terdapat pelajar wanita Islam yang bertudung,
tiba-tiba bila dibuat pemeriksaan dalaman oleh guru disiplin dijumpai tatoo malah lebih mengejutkan ada yang terdapat lambang salib di badannya.
Bukankah ini menggambarkan bahawa sistem pendidikan kita telah hilang tumpuan akibat perbuatan gila politik Umno. Isu disiplin di sekolah amat terok sekali. Kita dimaklumkan bahawa ramai pengetua sekolah yang menyembunyikan kes anak-anak muridnya yang mengandung!
Puak-puak yang kononnya berjuang menyelamatkan aqidah orang Melayu ini disokong pula oleh puak yang sangat tebal mukanya yang tersilap memilih medan berpolitik. Mereka adalah ahli politik kepala pusing kerana membuat pusingan 360⁰ di dalam kareir politik dengan menukar parti setelah mendapat jolokan YB.
Mereka ini tidak mempunyai pendirian jelas dan hala tuju di dalam perjuangan agama dan politik seterusnya menipu rakyat yang memilih mereka.
Jelas, Umnolah yang mempermainkan agama demi survival politik. Ini tidak menghairankan kerana di dalam Umno bersarang segala macam isme yang bercanggah dengan Islam seperti pragmatisme, sekularisme dan nasionalisme.
Hakikatnya memang ramai umat Islam di Malaysia yang rosak aqidah yakni sejak awal pemerintahan Umno lagi.
Namun Allah s.w.t pun telah memberi amaran di dalam Al Quran tentang seseorang walaupun Islam di waktu pagi, tetapi boleh menjadi kafir di waktu petang dan Islam di waktu petang dan boleh menjadi kafir di waktu pagi.
Maksud di sini, soal aqidah adalah persoalan harian umat Islam. Maksudnya, amat mudah untuk seseorang yang mengaku muslim itu tergelincir aqidahnya. Contoh terdekat, aqidah boleh tergelincir jika seseorang Islam menyokong pemimpin yang menolak atau mempermainkan syariat Islam.
Tidak perlu Dr. Hassan Ali mendedah ramainya umat Islam yang semakin rosak aqidah kerana Allah s.w.t sudah pun memberi amaran tersebut. Ironinya, selagi Umno memerintah di bumi Malaysia ini, selagi itulah mudah seseorang itu tergelincir aqidahnya.
Setelah kehilangan lima negeri dan kehilangan sokongan rakyat terutama dari orang Melayu Islam di dalam PRU 12, kini Umno kembali kepangkuan rakyat menuntut simpati dengan menjaja isu Melayu sedang terhimpit, institusi Raja dicemari dan Islam dihina.
Sedangkan rakyar telah tahu dan faham siapa sebenarnya yang telah mengkhianati Melayu, mencerca Raja dan menghina Islam.
Gelombang tsunami Mac 2008 menyentap keegoan Umno yang pemimpinnya sekian lama leka dengan kemewahan dan berterusan menganggap semua benda boleh disuap dan ditelan oleh rakyat. Langit terbuka dan teknologi komunikasi alaf baru menjadikan dunia tanpa sempadan membuat rakyat semakin celik dan cerdik lalu mengenal mana intan dan dan mata permata, mengenal siapa Umno sebenarnya, kecuali JKKK di kampong-kampong yang mindanya disekat Umno.
Gelombang PRU 12 juga menyaksikan politik baru yang digerakkan oleh Pakatan Rakyat membuahkan hasil apabila rakyat Malaysia tanpa terikat dengan fahaman kaum dan agama boleh berpakat demi menghentikan politik basi yang didominasi oleh Umno yang merugikan bangsa dan Negara.
Bukan Islam khususnya kaum Cina memberi sokongan terbuka kepada PAS. Satu fenomena baru yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Ramai, mendorong PAS Pusat menubuhkan satu entiti yang diiktiraf iaitu Dewan Himpunan Penyokong-Penyokong PAS. Inilah yang menggerunkan Umno di saat hubungan mereka dengan komponen bukan Melayu di dalam BN ibarat retak menunggu belah.
Justeru dimomokkanlah ramai Melayu yang sudah terpesong aqidah! Tetapi malang menggunakan metod dan pendekatan yang tersasar. Umno melihat Islam sebagai hak eksklusif orang Melayu. Bangsa lain yang bukan Islam tidak boleh menyebut kalimah Allah atau membaca Al-Quran, dituduh sebagai menghina Islam.
Kononnya menjunjung Islam sebab Islam agama suci. Hakikatnya Islam tetap suci, tinggi, istimewa dan eksklusif untuk semua manusia. Dan Islam tidak perlu menunggu Umno mengiktirafnya! Allah s.w.t. ada menyatakan di dalam Al-Quran bermaksud, jika sesuatu kaum itu tidak mahu menerima Islam, Islam akan pergi kepada kaum yang mahu menerimanya. Ternyata ini terjadi pada Umno.
Kenapa tidak kita meraikan kawan-kawan kita yang berlainan bangsa dan agama itu setelah mereka mahu berjinak dan bermesra dengan Islam.
Umno patut mengambil pengiktibaran, persahabatannya lebih 50 tahun dengan MCA, hasilnya Choi Soi Lek memperlekeh malah menghina Islam. Sebab mereka tidak pernah mendapat apa-apa pengajaran berguna tentang Islam daripada Umno.
Menegakkan Islam dan mempertahan aqidah tidak boleh dilakukan seorang diri seperti dilakukan oleh Dr. Hassan Ali. Tidak ada manusia yang berhak berkata dia ‘champion’ segalanya. Penubuhan PAS itu sendiri, dari awal lagi dasarnya adalah demi mempertahankan aqidah orang Islam. Ketegasan PAS dalam soal ini jelas sehingga tercetus isu kafir-mengkafir sehingga PAS difitnah. PAS tidak pernah mengkafirkan Umno sebaliknya menegaskan tentang batas-batas iman dan kufur serta amalan atau perkara yang boleh membatalkan syahadah seseorang muslim.
Kesimpulannya untuk merealisasikan Islam sebagai addeen lagi syumul kita tidak boleh jadi seperti beberapa orang buta mentafsir seekor gajah lalu memberi berbagai tafsiran. Islam adalah agama praktikal yang perlu ditunjuk dan diamalkan. Ia bukan tersimpan di atas kertas-kertas kerja di bilik hawa dingin.
Justeru seluruh rakyat perlu menyokong Pakatan Rakyat dan PAS yang menjadi rakan penting mempunyai cara untuk mendaulatkan Islam yang manafaatnya akan melimpah kepangkuan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan