Isnin, 28 Mei 2012

Bersih 2.0: SPR perlu dengar suara rakyat

Nurul Aini Mohamed Ali

MENJELANG PRU 13 - PARLIMEN
 
MENJELANG PRU 13 - PARLIMEN
 
 
SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) mendakwa Pilihan  Raya Umum ke-13 (PRU13) akan menjadi pilihan raya yang paling kotor jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membersihkan daftar pengundi sebelum pilihan raya umum.

Sehubungan itu, Bersih 2.0 mahu SPR menerima hasil kajian kendalian firma pungutan suara Merdeka Center berkaitan dengan proses pilihan raya dan daftar pemilih, yang selari dengan tuntutan pihaknya.

Kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Center mendapati 92 peratus daripada pengundi mahu daftar pemilih dibersihkan dan hanya 44 peratus yakin dengan proses pilihan raya di Malaysia.

Seramai 48 peratus responden bersetuju daftar pemilih tidak tepat dan terdapat pengundi yang meragukan seperti warga asing, pengundi yang berpindah tanpa pengetahuan dan individu yang memiliki idendtiti lebih daripada satu.

“SPR perlu mendengar suara hati para pengundi. Walaupun nisbah ini kecil ia tetap menjadi suara dan pendapat rakyat berhubung isu ini,” kata Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Sehubungan itu tegas beliau, SPR perlu membersihkan senarai daftar pemilih dengan segera sebelum PRU13.

Tambah beliau, rakyat kini mula faham dan ini menunjukkan para pengundi inginkan sistem pilihan raya yang adil dan bersih dilaksanakan menjelang PRU13.

“SPR perlu dengar suara rakyat. Tidak kira pendapat apa sekalipun,” katanya.

Kata beliau, pihaknya tidak menolak penemuan kajian tersebut kerana ia merupakan pendapat dan suara hati rakyat Malaysia.

Bagaimanapun SPR menolak hasil kajian tersebut dengan alasan sampel yang digunakan terlalu kecil untuk mewakili semua rakyat Malaysia.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, beliau yakin yang para pengundi tidak akan mempertikaikan keputusan pilihan raya umum.

Selain itu, kajian Merdeka Center juga menunjukkan hanya satu pertiga pengundi berdaftar mendapati Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berkenaan Penambahbaikan Pilihan Raya  satu usaha yang ikhlas untuk memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini. 

Seramai 43 peratus merasakan bahawa pembentukan PSC hanya usaha untuk menutup atau mengalihkan pandangan rakyat. Baki 20 peratus responden pula tidak pasti dengan pendirian mereka.

Tiada ulasan: