Khamis, 13 Oktober 2011

PR diberi MyKad: PAS tuntut penjelasan KDN

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: PAS menuntut penjelasan segera daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kewujudan lebih 200 warga asing dari Johor di sebuah resort berhampiran Putrajaya, semalam.

Pemuda PAS dengan bantuan pasukan risikannya berjaya mengesan kehadiran mereka yang terdiri daripada warga Indonesia, Kemboja dan Bangladesh, dibawa menaiki enam buah bas.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di lobi Parlimen hari ini berkata, KDN harus memberikan penjelasan mengenai perkara itu kerana pihaknya mengesyaki kehadiran mereka ada kaitan dengan operasi pemberian MyKad kepada warga asing bagi membolehkan mereka menjadi pengundi pada pilihan raya umum ke-13.

"Kita desak beberapa kementerian bertanggungjawab khususnya KDN memberikan penjelasan konkrit berhubung apa yang berlaku semalam.

"Ini kerana dalam masa beberapa bulan ini, PAS telah membawa isu pendaftaran warga asing yang dimasukkan dalam daftar pemilih ini.

"Ini isu penting, bukan andaian atau rekaan tapi telah dibuktikan dengan pendedahan sebelum ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata, wakil Pakatan Rakyat yang terlibat dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012 di Dewan Rakyat hari ini akan membangkitkan perkara tersebut.

"Wakil PR akan membangkitkan perkara ini agar KDN memberikan penjelasan segera," katanya sambil menunjukkan gambar warga asing yang sempat diambil semalam.

Maklumat bercanggah

Sementara itu, Timbalan Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Adram Musa pada sidang media sama berkata, maklumat warga asing yang bercanggah di antara satu sama lain itu semakin menambahkan rasa curiga mereka.

"Saya sebagai salah seorang saksi semalam masuk ke dalam resort dan bertanya kepada mereka sendiri.

"Bila ditanya apa mereka buat di situ, ada yang jawab datang kursus keusahawanan dan ada yang terus-terang jawab mereka datang untuk ambil MyKad. Pihak pengusaha resort pula kata tempat itu sudah ditempah awal pagi. Ini sangat menimbulkan kecurigaan," katanya.

Menurutnya juga, terdapat juga pegawai kesihatan mengiringi mereka.

Adram juga berkata, perkara tersebut turut berlaku di Paya Jaras, Selangor dan pihaknya sedang mengumpulkan maklumat terperinci.

Kira-kira jam 7 pagi semalam, pihak perisikan Pemuda PAS menunggu bas-bas tersebut yang tiba di Masjid Putra, Putrajaya.

Mereka mengekori bas-bas tersebut sehingga ke sebuah resort di sana.

Bas-bas berkenaan bagaimanapun beredar dari situ, dan meninggalkan kumpulan penumpang tersebut di resort berkenaan.

Petugas media yang kemudiannya tiba di situ kira-kira jam 1.30 tengahari juga sempat melihat sebuah kereta Proton Tiara dipercayai membawa 'ketua operasi' itu memecut laju keluar dari resort melalui jalan belakang.

Ekoran itu, mereka bertindak mengepung jalan masuk dari depan dan belakang resort tersebut.

Tiada ulasan: