Sabtu, 29 Oktober 2011

Kes saman bapa Altantuya dilengahkan sebab politik- Sivarasa

Oleh: Nabihah Hamid



KUALA LUMPUR : Ahli Biro Politik KEADILAN, R. Sivarasa mempersoalkan kes saman bapa kepada warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu terhadap kerajaan yang masih belum dibicarakan.

Katanya, kes tersebut yang turut dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membuktikan ia sengaja dilengahkan kerana ada kepentingan politik.

“Kes ini sengaja dilengahkan diatas sebab-sebab politik dan jelas menunjukkan adanya tangan dibelakang yang sengaja dilambatkan kerana takut banyak isu dan fakta berkaitan (Abdul) Razak Baginda, (Datin Seri) Rosmah dan Najib akan dibuka semula dalam kes itu,”

“Banyak persoalan yang timbul kerana kes ini sudah lama dan patutnya sudah dibicarakan kerana Mahkamah Tinggi sebelum ini pernah memberi arahan untuk memberikan keutamaan kepada kes-kes yang lama,” kata Ahli Parlimen Subang itu.

Setev Shaariibuu sebelum ini memfailkan saman ke atas kerajaan Malaysia 4 Jun 2007 lalu dan mereka yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan kejam Altantuya di Shah Alam pada 2006.

Sahabat kepada Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda yang dituduh bersubahat dalam kes pembunuhan itu, dibebaskan oleh mahkamah manakala dua lagi pengiring kepada Najib dijatuhi hukuman mati.

Kes pembunuhan itu juga mempunyai kaitan dengan komisen pembelian kapal selam Scorpene yang melibatkan lebih RM500 juta.

Awal bulan ini, kes saman bapa Altantuya itu ditangguhkan kerana kedua-dua anggota polis yang didapati bersalah berhubung pembunuhan tersebut memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Peguam Setev, Karpal Singh banyak kali menulis kepada mahkamah untuk memohon pengurusan kes saman itu dipercepatkan, namun masih belum menerima jawapan.

Hari ini, Malaysiakini melaporkan bapa Altantuya merayu kepada Mahkamah Tinggi agar mempercepatkan perbicaraan saman sivil berjumlah RM100 juta tersebut.

Dalam sepucuk surat yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh peguam Mukhsaruul Mijiddorj, Shaariibuu berkata beliau telah membayar sejumlah besar wang kepada mahkamah Malaysia pada tahun lalu.

Wang, berjumlah RM60,000 itu sebagai bon keselamatan, dibayar oleh kerajaan Mongolia bagi pihak Shariibuu.

Walau bagaimanapun, setahun sudah berlalu tetapi beliau masih belum menerima sebarang berita mengenai tarikh kesnya itu akan dibicarakan.

Tiada ulasan: