Ahad, 30 Oktober 2011

IRDA Belanja RM4 Bilion Untuk Projek Pembangunan Di Iskandar Malaysia

ANTARA POS

Post Pic

JOHOR BAHARU : Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar telah membelanjakan RM4 bilion bagi melaksanakan projek pembangunan rakyat dan pemuliharaan alam sekitar di Iskandar Malaysia. Ketua Pegawai Eksekutifnya Ismail Ibrahim berkata antara yang dilaksanakan ialah projek perumahan rakyat, tebatan banjir, pembersihan sungai dan infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya.

"Kesemua projek ini adalah demi memastikan masyarakat khususnya di Iskandar Malaysia, dapat hidup dengan selesa dengan prasarana dan kemudahan yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas meninjau tiga persimpangan bertingkat di sekitar bandar raya ini hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata apabila dibuka kelak, persimpangan bertingkat di Indahpura, Bukit Indah dan Jalan Abu Bakar itu dijangka dapat melancarkan lagi aliran trafik di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

Katanya persimpangan Indahpura di Kulaijaya dijangka dibuka sebelum Aidiladha sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia.

"Melalui persimpangan baru ini, pengguna hanya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk pergi ke Johor Premium Outlet melalui Jalan Skudai-PLUS-Link Kedua berbanding 40 minit melalui Jalan Skudai-Senai-Bandar Indahpura," katanya.

Ismail berkata bagi persimpangan Bukit Indah dan Taman Tema 1 yang akan dibuka pada suku pertama tahun depan, ia menghubungkan bandar raya ini dengan Horizon Hill di Nusajaya melalui Lebuhraya Pesisir Pantai.

Apabila dibuka kelak, tempoh perjalanan dati Horizon Hills ke bandar raya ini hanya selama 15 minit berbanding 25 minit jika menggunakan laluan sekarang iaitu Jalan Skudai melalui Taman Perling dan Link Kedua.

Sementara itu, persimpangan di Jalan Abu Bakar menghala ke Bangunan Sultan Iskandar melalui Jalan Lingkaran Dalam kini telah dibuka sebahagian daripadanya, kata beliau.-Bernama

Tiada ulasan: