Ahad, 30 Oktober 2011

PPSMI: Gunakan semula sistem lama, DAP gesa Putrajaya

TERKINI



KUALA LUMPUR — Kementerian Pelajaran perlu lebih fleksibel dan wajar memberi ospyen untuk belajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris, kata DAP sambil menegaskan dasar sedemikian akan membolehkan Malaysia mengekalkan bakat-bakat terbaik dalam negara.

Parti pembangkang itu melahirkan pendirian menyokong pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang terus mendesak kerajaan agar mengekalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan memberi opsyen kepada para pelajar.

“Prinsip paling penting yang Kementerian Pelajaran harus terima pakai ialah pelajar-pelajar yang cerdik tidak harus ketinggalan di belakang hanya kerana ada pelajar yang lemah dalam akademik,” kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua (gambar) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Kedua, dan yang paling penting ialah usaha perlu diambil untuk memastikan sekolah-sekolah berupaya untuk melahirkan modal insan terbaik bagi Malaysia ketika kita sedang berusaha menjadi sebahagian daripada ekonomi berasaskan pengetahuan dalam muncul sebagai negara berpendapatan tinggi,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sistem pendidikan negara ini akan kucar-kacir jika kerajaan membenarkan pemilihan bahasa pengantar sama ada Bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.

Muhyiddin berkata keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memansuhkan PPSMI harus dihormati dan diterima baik semua pihak.

Katanya, ini kerana sistem pendidikan negara akan menjadi kucar-kacir sekiranya kerajaan memberi kebebasan kepada ibu bapa memilih bahasa pengantar untuk anak-anak mereka mempelajari sains dan matematik di sekolah.

“Sukar bagi Kementerian Pelajaran untuk merancang cara bagaimana sebuah sekolah mahukan Bahasa Inggeris, manakala yang sebuah lagi mahukan Bahasa Melayu dan bagaimana pula untuk menyediakan guru-gurunya.

“Pada hari ini kita tahu sesetengah guru Bahasa Inggeris kita pun tidak berapa cekap...jadi kalau sesetengah sekolah nak Bahasa Inggeris (tetapi) sekolah itu tidak mempunyai guru Bahasa Inggeris yang baik (maka) ia tidak akan tercapai,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberi jaminan bahawa kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris tidak akan diketepikan setelah PPSMI dimansuhkan.

Tiada ulasan: