Ahad, 30 Oktober 2011

SPRM Jangan Hanya Buka Siasatan Tetapi Tiada Tindakan

MALAYSIA DAILY Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan hanya perlu menyiasat penyelewengan yang didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2010, tetapi turut mengemukakan hasil laporan dan pendakwaan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, ini kerana laporan Audit jelas menunjukkan berlaku penyelewengan dan kelemahan ketara terhadap projek yang dilaksanakan kerajaan pusat dan negeri.

“Kita merasa agak bimbang, siasatan ini hanya untuk memperbaiki imej SPRM berikutan langkah kerajaan untuk mengambil hati rakyat sempena pilihan raya.

“Berbanding tahun lepas tiada tindakan yang diambil meskipun SPRM kata akan siasat. Tidak ada guna jika siasatan tetapi tiada tindakan. Apa yang kita mahu ialah SPRM kemukakan hasil siasatan dan mengambil langkah susulan termasuk melakukan pendakwaan,” jelas Azan.

Beliau juga menyentuh mengenai kesungguhan SPRM menyiasat terhadap laporan Audit di peringkat negeri Pakatan Rakyat seperti di Pulau Pinang dan Kedah.

“Berdasarkan laporan Audit, jelas menunjukkan prestasi pengurusan kewangan di negeri Pakatan Rakyat pada keseluruhannya memuaskan. Kalau nak buka juga kertas siasatan di negeri Pakatan berasaskan laporan media perdana, SPRM tidak ubah seperti burung kakak tua,” katanya.

Media hari ini melaporkan SPRM membuka 36 fail siasatan berikutan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Sebanyak dua fail siasatan dilapor dibuka di ibu pejabat, dua fail di Sarawak, tiga masing-masing di Pulau Pinang dan Johor, enam masing-masing di Terengganu dan Kedah, tujuh masing-masing di Perak dan Sabah.

Menurut kenyataan SPRM pihaknya telahpun menyiasat sebahagian besar isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan dan mengalu-alukan kerjasama semua pihak dalam memberi sebarang maklumat. -KD

Tiada ulasan: