Sabtu, 29 Oktober 2011

SAMM: Amaran UiTM gantung pelajar kritik UIA tak relevan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR ― Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memberi amaran akan mengadakan demonstrasi jika Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggantung pelajarnya Khalid Mohd Ismath berkaitan tulisannya yang mengkritik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berhubung isu menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, SAMM berkata pihaknya berpendapat tindakan amaran penggantungan dikenakan ke atas Khalid adalah satu tindakan tidak relevan kerana ia melanggar hak kebebasan bersuara dan berhimpun.

“Sedangkan pihak pentadbiran UIA sendiri sudah melepaskan Profesor Dr Aziz Bari membuktikan tindakkan UIA tidak berlandas kepada peraturan, di manakah silapnya jika mahasiswa mengkritik universiti tersebut secara ilmiah dan terbuka?

“Kekangan pihak UiTM terhadap mahasiswa yang mempunyai pandangan dari sudut berbeza akan merealisasikan apa yang dipanggil pembonsaian minda terhadap mahasiswa,” katanya lagi.

Khalid adalah mahasiswa tahun satu Fakulti Undang-undang dan merupakan timbalan presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen.

Khalid, dalam blognya, dilaporkan menyifatkan penggantungan tugas Aziz sebagai tidak patut memandangkan pakar perlembagaan digantung sebelum dibicarakan lantas dia mengajak semua pihak turun berdemonstrasi membantah keputusan pentadbiran UIA, Selasa lalu.

Tiada ulasan: