Ahad, 30 Oktober 2011

Dr Burhanuddin al-Helmy pejuang kemerdekaan yang dilupakan?

Oleh al_madd

SELEPAS Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu membangkitkan isu Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, seluruh negara gegak gempita membahaskan isu menulis kembali sejarah kemerdekaan negara.

Maka timbul pula idea, kononnya Malaya-Tanah Melayu tidak pernah dijajah.Idea ini seolah-oleh mahu menutup peranan golongan kiri yang bangkit menyedarkan rakyat menuntut kemerdekaan dari penjajah British.

Antara tokoh yang cuba diselindungkan Umno- BN dalam membingkiskan tentang sejarah Malaya- Tanah melayu ialah Dr Burhanuddin Al-Helmy.

Perjalanan hayat Dr Burhanuddin ada dicatatkan sebahagian kecil daripada tulisan Dr Ismail Said, Dr Burhanuddin al-Helmy: Pejuang Melayu Sejati, (Karisma, 2008) dan Tesis Ijazah Doktor Falsafahnya di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2008 yang memfokuskan kepada kajian tokoh-tokoh yang menggerakkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Berikut adalah sebahagian kecil kisah Dr Burhanuddin yang diselitkan Dr Ismail Said melalui kajiannya. Dr Burhanuddin al-Helmy adalah pejuang kemerdekaan yang juga Presiden PAS ketiga


Oleh DR ISMAIL SAID

DR BURHANUDDIN ALHELMY adalah pemimpin ketiga PAS selepas Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Abbas Alias. Beliau dilahirkan di Changkat Tualang, Perak pada 29 Ogos 1911.

Bapa beliau bernama Haji Muhammad Nor dikatakan keturunan seorang bangsawan dari Sumatera. Seorang yang alim, petani dan juga ahli tasawuf.

Beliau datang ke Tanah Melayu pada tahun 1908 dalam perjalanan pulang dari Makkah.

Haji Muhammad Nor tinggal beberapa tahun di Makkah untuk mendalami ilmu agama dan mempelajari al-Quran. Ketika tiba di Changkat Tualang, beliau baru berusia 18 tahun.

Bapa Dr Burhanuddin al- Helmy dikenang sebagai seorang yang tidak mementingkan kebendaan, tidak mementingkan kesenangan dunia, seorang yang sentiasa senyum dan tidak mudah marah sehinggakan beliau digelar ‘Abi Halim’ oleh sesetengah rakannya.

Mengambil sempena gelaran ini jugalah Dr Burhanuddin menggunakan ‘Al-Hulaimi’ yang kemudiannya dipopularkan umum menjadi Al-Helmy yang bermakna orang yang tidak pemarah.

Sifat sebagai seorang yang sabar, tidak pemarah, lemah lembut ini diakui oleh sahabatsahabat yang dekat dengan beliau.

Dr Burhanuddin al-Helmy juga seorang pemimpin yang senang untuk didampingi oleh sesiapa sahaja malah beliau juga seorang yang mudah mendampingi orang lain, beliau tidak suka menghampakan orang yang mengharapkan bantuan atau khidmatnya.

Walaupun Dr Burhanuddin al-Helmy seorang yang jujur dan mudah didampingi oleh ahli dan rakyat, namun beliau bukanlah seorang yang mudah dipermainmainkan, hatinya cukup keras walaupun orangnya tampak lembut.

Dengan lain perkataan ada masa dan tempatnya Dr Burhanuddin al-Helmy boleh dipengaruhi dan ada masa dan tempatnya pula dia tidak boleh dipengaruhi oleh sesiapa.

Dalam peristiwa penggubalan Perlembagaan Rakyat, soal kerakyatan di mana All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) mahukan kerakyatan berdasarkan tempat lahir atau jus soli sedangkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) keberatan menerima kerakyatan cara ini, perbalahan juga berlaku dalam soal nama kerakyatan, AMCJA mahukan kerakyatan yang bernama ‘Malayan’ sedangkan PUTERA dengan dijuarai Dr Burhanuddin al-Helmy mahukan kerakyatan yang bernama ‘Melayu’.

Dalam hal ini Dr Burhanuddin al-Helmy tetap dengan pendiriannya sehingga memaksa Ahmad Boestamam menggunakan kebijaksanaannya menyelesaikan masalah ini bagi menjayakan Perlembagaan Rakyat.

Dr Burhanuddin al-Helmy ialah seorang yang benar-benar alim dalam ilmu dan bidang agama Islam. Ketinggian ilmunya memang suka hendak ditandingi.

Beliau menguasai semua pelat bahasa Arab yang berlainan itu. Malah, beliau juga seorang ahli tafsir al-Quran dan al-Hadis yang ulung dan menguasai nahu saraf dan segala yang berhubung dengan sastera Arab.

Selain itu beliau juga boleh bertutur dan menulis dengan fasih dan baik dalam bahasa Urdu, Belanda, Inggeris, Perancis dan Jerman. Ertinya beliau berkebolehan menguasai tujuh bahasa besar dunia.

Dr Burhanuddin al-Helmy dalam perjuangannya sebelum memasuki PAS sentiasa membimbing ahli-ahlinya supaya berusaha dengan tekun kerana berusaha itulah yang menentukan nasib diri dan kaum mereka akan berubah, beliau sering memberi tazkirah kepada mereka dengan memperdengarkan ayat-ayat al- Quran yang sesuai sebagai penguat semangat perjuangan.

Ibu Dr Burhanuddin al-Helmy, Sharifah Zaharah binti Habib Othman pula berketurunan Arab yang berhijrah ke Perak dari Melaka. Penghijrahan ini kerana ingin mencari rezeki yang lebih di samping mencari tempat tinggal yang tenteram.

Perkahwinannya dengan Haji Mohamad Noor diuruskan oleh keluarga. Dr Burhanuddin al- Helmy mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Behrang Ulu dan kemudian di Bakap sehingga darjah tiga.

Pada sebelah petangnya, Dr Burhanuddin al-Helmy mengikuti kelas al-Quran dan agama. Pada waktu lapang, Dr Burhanuddin al-Helmy belajar ilmu perubatan Melayu seperti jampi-jampi dan mantera daripada seorang datuk saudaranya.

Dr Burhanuddin al-Helmy dikatakan menyalin bahan-bahan ramuan untuk ubatan-ubatan Melayu itu.

Selepas bersekolah di Bakap, beliau berpindah pula ke sekolah di Kota Bahru (Perak) dan mula menceburkan diri dalam bidang penulisan dengan menerbitkan akhbar mingguan iaitu Berita Minggu yang menyiarkan beritaberita di dalam dan di sekitar kampungnya.

Pada tahun 1924, setelah tamat sekolah Melayu, Dr Burhanuddin al-Helmy dihantar oleh bapanya ke Sungai Jambu, Sumatera untuk mendapatkan pendidikan Islam di sana. Selama dua tahun di sana beliau dikatakan dididik dan dipengaruhi oleh guru-guru dan ajaran-ajaran Kaum Muda.

Beliau kemudiannya tidak mahu meneruskan pengajian di sana kerana tidak setuju dengan cara pendidikan yang dijalankan di sekolah agama itu.

Sistem menadah tangan dan menghafal kitab yang sama tidak disukai oleh Dr Burhanuddin al-Helmy. Beliau lebih suka satu bentuk metodologi pengajaran dan pembelajaran yang bersifat perbincangan dan soal jawab antara guru dengan murid dilaksanakan.

Ini kerana, beliau mempunyai banya persoalan yang ingin dihuraikan. Beliau mempunyai sikap ingin tahu, tidak dapat berpuas hati dengan satu jawapan yang sangat kaku. Beliau tidak suka pemikirannya dikongkong.

Apabila berhenti dari sekolah di Sungai Jambu Sumatera, Dr Burhanuddin al-Helmy dihantar belajar oleh ayahnya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Tuan guru pondok itu ialah Tuan Guru Haji Salleh Ismail iaitu sahabat kepada bapa Dr Burhanuddin al-Helmy.

Oleh kerana beliau berasakan cara pengajian dan sukatan pelajaran di pondok ini tidak memadai baginya, Dr Burhanuddin al-Helmy berpindah pula ke Madrasah al-Masyhur al- Islamiyyah, Pulau Pinang.

Di madrasah ini, Dr Burhanuddin al-Helmy belajar sehingga tamat Thanawi (menengah atas) pada tahun 1934. Satu hakikat yang tidak dapat disanggah di sini ialah, Dr. Burhanuddin al-Helmy telah dipengaruhi oleh pemikiran dan keperibadian politik Sheikh Abu Bakar al-Rafie iaitu Mudir madrasah, Haji Arshad al-Bawayih, seorang ahli tatabahasa bahasa Arab iaitu seorang dari golongan ‘Kaum Muda’ dan Ashiran Yaakob, seorang penulis yang turut serta dalam memperjuangkan nasib politik, ekonomi dan sosial orang Melayu.

Dr Burhanuddin al-Helmy kemudiannya ditawarkan biasiswa oleh hartawan-hartawan India Islam di Pulau Pinang untuk melawat dan meneruskan pengajian di India. Semasa di India, Dr Burhanuddin al-Helmy belajar bidang homeopati sehingga memperoleh ijazah homeopati.

Bidang ini telah dipelajarinya di Ismailiah Medical College.

Dr Burhanuddin al-Helmy juga mendapat kelulusan Doctor of Naturopathy dari School of Naturopathy, London secara ijazah luar kampus. Penganugerahan ijazah lain yang diperolehnya seperti Doctor of Divinity daripada International Academy Canada, kerana penglibatan luas beliau dalam bidang perubatan homeopati. Ini termasuk juga penganugerahan ijazah Doktor Falsafah.

Dr Burhanuddin al-Helmy juga dikatakan belajar di Aligarh Muslim University, India. Semasa dalam perantauan di negara orang inilah Dr Burhanuddin al-Helmy banyak belajar dan menerima pengalaman politik dari nasionalis-nasionalis luar negara.

Di India, beliau telah didedahkan dengan perjuangan Mahatma Gandhi menuntut pembebasan India daripada penjajahan British.

Beliau dikatakan menghadiri rapat umum dan ceramah-ceramah Mahatma Gandhi serta mengikuti pendapat Mahatma Gandhi yang menuntut kebebasan politik bagi India dan tidak menggalakkan kekerasan dan permusuhan dalam kalangan orang India. Semasa di India juga, Dr Burhanuddin al-Helmy terdedah dengan ajaran tasawuf Naqsyabandiah Semasa melawat Palestin, beliau telah melihat tindakan politik dan ketenteraan British mewujudkan sebuah negara Israel dengan menafikan hak politik bangsa dan negara Palestin. Dr Burhanuddin al-Helmy turut terlibat dalam perarakan menentang Perjanjian Balfour yang membentuk negara Israel.

Akibatnya beliau ditahan oleh British.

Pengalaman-pengalaman yang dikutip dari perantauan ini menjadi pedoman dan inspirasi perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan kuasa barat. Bersama-sama dengan Ibrahim Haji Yaakob, Onan Siraj dan beberapa orang pemimpin KMM yang lain, Dr Burhanuddin al-Helmy telah menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada Julai 1945.

Penubuhan KRIS digalakkan oleh pihak Jepun. Jepun sebenarnya telah menjanjikan kemerdekaan kepada Indonesia.

Justeru itu beberapa siri rundingan telah diadakan antara pihak Jepun dengan Soekarno. Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ibrahim Yaakob ingin membawa Tanah Melayu merdeka bersama Indonesia apabila Jepun berundur nanti.

Atas matlamat inilah satu perundingan dan perbincangan telah diadakan antara brahim Yaakob dengan Soekarno dan Hatta di Taiping pada 12 dan 13 Ogos 1945. Soekarno dan Hatta pada ketika itu dalam perjalanan pulang dari Saigon setelah bertemu Field Marshall Terauchi, Pemerintah Tertinggi Tentera Jepun bagi Asia Tenggara. Usaha-usaha mencapai kemerdekaan dalam konsep Indonesia Raya ini telah dijalankan dengan digerakkan oleh Dr Burhanuddin al-Helmy.

Satu mesyuarat telah diadakan di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Ogos 1945 bagi merancang beberapa langkah yang patut dibuat bagi menentang kemasukan semula British ke Tanah Melayu.

Mesyuarat juga telah memutuskan sebuah kabinet akan dibentuk bagi negara merdeka tersebut dengan nama Malaya Demokratik Rakyat, di mana dalam kabinet ini Dr Burhanuddin al-Helmy juga dilantik sebagai anggota kabinet.

Mesyuarat juga membincangkan cara-cara bagi menggelak penguasaan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) selepas pengunduran Jepun.30 Pada 17 Ogos 1945, atas arahan Ibrahim Yaakob satu perjumpaan dengan wakil-wakil pemuda KRIS telah diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Perjumpaan ini turut dihadiri Itagaki dan dua orang kawannya.

Pihak Jepun telah memberitahu rancangan untuk merdeka dalam Indonesia Raya tidak dapat dilaksanakan kerana penyerahan diri Jepun secara mendadak pada 15 Ogos 1945. Dengan itu usaha untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu juga gagal.

Kegagalan ini sedikit menghampakan Dr Burhanuddin al-Helmy. Jika usaha ini berjaya kita mungkin dapat membayangkan Dr Burhanuddin al-Helmy akan menjadi Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, seorang pemimpin yang menggabungjalinkan semangat kemelayuan, nasionalis tulen dan semangat keislaman.

Tiada ulasan: