Isnin, 31 Oktober 2011

Hudud: Pandangan Karpal kurang tepat, kata Nik Aziz


KUALA LUMPUR — Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan termasuk kes zina tidak semestinya akan dikenakan hukuman hudud.

Sebaliknya kata Mursyidul Am PAS ini, sekiranya kekurangan saksi pesalah boleh dijatuhkan hukuman takzir.

Nik Aziz berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh bahawa pesalah kes zina akan dibebaskan sekiranya tidak mempunyai empat orang saksi mengikut hukum hudud.

“Katanya (Karpal) hudud boleh menyebabkan penjenayah terlepas kerana pembuktian empat orang saksi yang sukar diperoleh. Saya mengalu-alukan pandangan rakan-rakan Pakatan Rakyat untuk memantapkan kefahaman mereka.

“Dalam hal ini, ada sedikit silap faham saudara Karpal Singh. Sekiranya seseorang terlepas dari hukuman hudud, seseorang itu masih boleh dikenakan hukuman di bawah hukuman takzir,” katanya di laman Facebook.

Justeru tegas Menteri Besar Kelantan ini, sesiapa yang bersalah akan tetap dijatuhkan hukuman.

“Bersalah tetap bersalah dan tetap dihukum,” katanya.

Karpal pada sidang media di Pulau Pinang semalam menolak cadangan kerajaan negeri Kelantan bahawa undang-undang sivil perlu tegas seperti hukum hudud .

Tiada ulasan: