Isnin, 31 Oktober 2011

Ada pemimpin Umno mahu PPSMI dikekalkan- Prof Shaharir

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR: Tiada jawapan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara punca mengapa isu Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak selesai sehingga kini.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Profesor Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, usaha pertubuhan itu untuk menemui Najib bagi membincangkan isu itu juga buntu kerana beliau sentiasa ‘sibuk’.


Shaharir berkata demikian mengulas kenyataan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) semalam yang mahu supaya pilihan terhadap dasar tersebut diberikan kepada ibu bapa.

“Kita mahu jawapan segera dari Datuk Najib mengenai isu ini kerana Page sebelum ini mendakwa Perdana Menteri ada mengeluarkan kenyataan kerajaan sedang menimbang untuk melaksanakan dwi-bahasa di sekolah bagi menyelesaikan isu PPSMI.

“Sebab itu kami berpandangan antara punca mengapa kumpulan Page desak PPSMI tidak dimansuh, kerana masih ada pemimpin tertinggi negara dari parti Umno yang menyokong PPSMI dikekalkan,” kata Fellow Penyelidik di Pusat Dialog Universiti Malaya dan bekas Profesor matematik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Beliau turut menegaskan, Page adalah suara minoriti dan tidak mewakili suara sebenar rakyat Malaysia yang membantah PPSMI.

“Kita jangan layan kumpulan Page ini, kerana desakan mereka agar subjek Matematik dan Sains diajar dalam dwi bahasa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kata pengantar di sekolah-sekolah kerajaan mestilah dalam Bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Sementara itu, Pengarah Biro Pendidikan KEADILAN, Abbas Awang berkata, kenyataan Page itu bertentangan dengan suara majoriti persatuan ibu bapa dan guru di seluruh negara.

Ini kerana katanya, Muafakat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional yang dianjur sebelum ini sepakat menolak PPSMI.

“Pada mesyuarat itu, PIBG seluruh negara membantah dasar PPSMI dan kami berpendapat bahawa keupayaan pelajar untuk menguasai Matematik dan Sains lebih mudah jika ianya diajar dalam bahasa ibunda masing-masing,” katanya.

PPSMI diperkenal sejak 2003 ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad dan ditentang tokoh-tokoh bahasa, budayawan dan cendikiawan kerana dianggap memperlekeh bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu.

Kemuncak penentangan itu pada 7 Mac 2009, GMP yang dipimpin bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Allahyarham Datuk Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, memimpin ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalanraya.

Buat pertama kalinya, golongan seniman dan budayawan pelbagai bangsa – yang dilihat berdiam diri terhadap dasar kerajaan selama ini – bangkit menuntut pemansuhan PPSMI.

Tiada ulasan: