Jumaat, 28 Oktober 2011

3% dapat manfaat, penentangan PPSMI berasas

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Kajian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa hanya tiga peratus pelajar mendapat manfaat daripada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) membuktikan kebenaran perjuangan menentang dasar tersebut.

Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid berkata, kajian itu sekaligus menafikan dakwaan pihak yang pro PPSMI bahawa ianya memberikan banyak manfaat kepada semua pelajar di seluruh negara.

Sebaliknya beliau berkata, seperti yang dijelaskan pihak yang menentang PPSMI sebelum ini, PPSMI hanya akan memberikan manfaat kepada pelajar di kawasan bandar.

"Yang lebih penting kita tekankan, kalau benar-benar kita nak laksanakan pendemokrasian pendidikan, kita harus menekankan aspek bahasa.

"Majoriti penduduk di Malaysia jauh lebih cepat memahami mata pelajaran Matematik dan sains dalam Bahasa Melayu.

"Oleh itu adalah tidak logik dan tidak demokratik kalau nak laksanakan PPSMI," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Cikgu Azmi yang merupakan salah seorang anggota Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), turut berkata, PPSMI bukan penyelesaian kepada usaha meningkatkan prestasi pelajar dan mewujudkan persaingan di peringkat antarabangsa.

"Kerajaan perlu baiki teknik dan keperluan Bahasa Inggeris kalau betul-betul nak tingkatkan penguatkuasaan bahsa itu.

"Kalau kerajaan kata kita akan payah bersaing dalam bidang ekonomi kalau tidak kuasai Bahasa Inggeris, itu tak betul kerana kita lihat sekarang ekonomi sudah jadi kacau bilau walaupun ramai pakar ekonomi yang menguasai Bahasa Inggeris," katanya yang masih aktif menyampaikan ceramah mengenai PPSMI.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan tetap dengan keputusan untuk memansuhkan PPSMI tahun hadapan jika mengutamakan kepentingan negara.

"Saya patahkan hujah pihak yang pro PPSMI bahawa PPSMI untuk kepentingan negara.

"Saya tegaskan, dengan melaksanakan PPSMI perbuatan merosakkan negara," katanya.

GMP pernah mengajurkan demonstrasi besar-besaran di ibu negara pada 2009 membantah dasar tersebut yang turut disertai Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan pejuang-pejuang bahasa yang lain.

Tiada ulasan: