Isnin, 3 Oktober 2011

Pembentukan JK khas reformasi p'raya dibentang

S Pathmawathy


Kerajaan hari ini membentangkan rang undang-undang pembentukan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen bagi mencadangkan pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini.

Turut dibentangkan adalah rang undang-undang bagi memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Negeri 1959.

azlanPerdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul bagi memansuhkan undang-undang darurat itu buat bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat, pagi ini berikutan pengumumannya bulan lalu bagi menjadikan Malaysia, contoh negara demokrasi terbaik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, pula membentangkan rang undang-undang bagi pembentukan jawatankuasa khas itu.

Menurut Nazri, jawatankuasa itu akan diwakili oleh sembilan ahli parlimen - lima dari BN, tiga mewakili Pakatan Rakyat dan seorang lagi wakil Bebas.

Jawatankuasa itu diperuntukan masa enam bulan bagi mengemukakan cadangan memperkasakan sistem pilihan raya di negara ini.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Najib berkata dua akta baru yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bakal memberi perimbangan antara hak asasi individu, kebebasan sivil dan menjaga keamanan awam.

azlanBeliau berkata, langkah itu membolehkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dengan lebih baik dan dihormati oleh negara lain.

"Jentera kerajaan memang berdiri teguh dan menyokong tindakan kerajaan untuk batalkan ISA dan diganti dengan dua akta baru. Akta baru ini akan mengambil langkah untuk mencari perimbangan antara hak asasi individu, civil liberties dan jaga keamanan awam," katanya ketika sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai instrumen atau undang-undang bagi membendung masalah yang sebelum ini diletakkan di bawah peruntukan ISA dan jaminan Perdana Menteri untuk memastikan jentera kerajaan dan perkhidmatan awam memberikan kerjasama kepada pemansuhan ISA.

NONEMenjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (kanan) (PKR-Lembah Pantai) sama ada kerajaan bersedia menggunakan Akta Pemansuhan Darurat yang disediakan Pakatan Rakyat, Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan proses penggubalan dua akta baru itu tidak lama lagi.

"Saya harap pembangkang jangan cuba ambil nama daripada langkah ini. Sebenarnya lembu punya susu tapi jangan ambil nama.

"Kita sudah umumkan perkara ini sejak 2009 lagi. Pemansuhan ISA ini bukan atas desakan Pakatan Rakyat tapi kehendak kerajaan BN sendiri. Jadualnya kita akan beritahu nanti sebab ada beberapa perkara yang harus dilakukan termasuk menggubal dua undang-undang yang baru dan proses konsultasi dengan beberapa pihak tertentu yang mewakili rakyat ramai," kata Najib.

Sementara itu, ketika menjawab soalan asal Nanta mengenai strategi kerajaan untuk menyatupadukan rakyat negara ini, Najib berkata, Gagasan 1Malaysia merupakan landasan penting dan tonggak utama kerajaan dalam usaha mengekalkan perpaduan erat di kalangan rakyat.

NONEKatanya prinsip Gagasan 1Malaysia diterapkan dalam setiap inisiatif dan program kerajaan yang benar-benar mengambil kira hasrat dan keperluan rakyat.

"Bagi memupuk perpaduan, program menggalakkan integrasi telah dan akan terus dilaksanakan seperti sukan, program belia, Khidmat Negara dan di universiti, kursus hubungan etnik diwajibkan untuk semua penuntut.

"Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JMKPA) juga ditubuhkan sejak awal 2010 untuk merunding isu antara agama melalui mekanisme perundingan, dialog dan menyelesaikan isu-isu antara agama dan penganut agama," katanya.

Tiada ulasan: