Sabtu, 8 Oktober 2011

Pekerja swasta turut dapat manfaat

Menteri Kewangan mengumumkan pelepasan cukai baru sehingga RM3,000 ke atas caruman dalam skim persaraan swasta dan anuiti insuran selama 10 tahun.



PETALING JAYA: Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini turut memberi perhatian kepada pekerja sektor swasta.

Menteri Kewangan itu mengumumkan pelepasan cukai baru sehingga RM3,000 ke atas caruman dalam skim persaraan swasta dan anuiti insuran selama 10 tahun.

Katanya, dengan ini pelepasan cukai sedia ada ke atas skim persaraan swasta dan anuiti insurans dirasionalkan.

Pada bajet tahun lalu, Najib mengumumkan pelepasan cukai RM6,000 untuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagipekerja sektor swasta dan insuran hayat diperluaskan bagi meliputi dana pencen swasta.

Selain itu, Najib mengumumkan potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja skim persaraan swasta dan pengecualian cukai ke atas pendapatan dana skim persaraan swasta.

“Kini pesara menghadapi kekurangan simpanan untuk menampung kos saraan hidup setelah bersara. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus menghabiskan kesemua simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas bersara.

Bonus setengah bulan

“Bagi meningkatan simpanan hari tua, kerajaan mencadangkan supaya caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencaruman yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji antara 7 peratus hingga 13 peratus setahun. Selain itu, mereka akan mendapat bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minima RM500.

Pada Ogos lalu, kerajaan telah membayar setengah bulan bonus atau minima RM500 kepada pekerja sektor awam.

Kerajaan juga mengumumkan bayaran bantuan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan. Seramai 1.3 juta penjawat awam dan 618,000 pesara kerajaan akan mendapat manfaat.

Tiada ulasan: