Sebagaimana yang dijangka, Belanjawan 2012 dengan peruntukan RM232.8 bilion disediakan untuk menyiap-sediakan kerajaan Barisan Nasional menjelang PRU ke-13. Dengan tema "Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara", Belanjawan 2012 menawarkan pemberian tunai secara "one-off", atau sekali sahaja, yang berjumlah RM2.789 bilion. Antaranya,
Pemberian secara "one-off"
RM 500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah. Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53% daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada pemberian yang melibatkan peruntukan sejumlah RM1.8 bilion ini.
Bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. Kira-kira 5.3 juta pelajar dijangka dimanfaatkan daripada peruntukan sejumlah RM530 juta ini.
Pemberian baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan RM260 juta.
Kerajaan akan memberi sumbangan sebanyak RM3,000 kepada setiap bekas anggota serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah hampir 62,000 orang, membawa kepada jumlah RM186 juta.
Bayaran khas RM3,000 kepada 4,300 orang kakitangan yang telah menamatkan kontrak dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), membawa kepada jumlah RM12.9 juta.
Golongan kakitangan kerajaan dan pesara
Tidak cukup dengan itu, kerajaan terus menyasarkan beberapa golongan, misalnya pesara Kerajaan. "Tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 dan bayaran bantuan RM 500 ringgit kepada pesara Kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011. Ini akan menjadikan jumlah bonus bagi tahun 2011 bersamaan sebulan gaji dengan bayaran minimum RM1,000 bagi penjawat awam dan bantuan RM1,000 bagi pesara Kerajaan. Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam serta 618,000 pesara Kerajaan. Bayaran bonus dan bantuan dua kali pada tahun ini akan menelan belanja sebanyak RM4 bilion."
Tidak berhenti di situ, Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM). SBPA ini mempunyai elemen-elemen termasuk "menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang."
Kenaikan gaji antara 7% hingga 13% dijanjikan kepada penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA. Malah dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600,000 pesara Kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan RM600 juta.
Jelas, kerajaan Najib mengambil kesempatan untuk menyiku pembangkang, ketika mengumumkan sumbangan RM3,000 secara "one-off" kepada setiap bekas anggota serta duda dan balu mereka. "Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang mengenang budi. Kita tidak akan membiarkan wirawan dan wirawati tanpa pembelaan yang sewajarnya. Kita tidak sekali-kali seperti setengah pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa bakti mereka. Sesungguhnya, keringat dan air mata mereka serta keluarga yang membasahi bumi bertuah ini akan terus malar dan segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia."
Penduduk bandar dan pendalaman
Najib turut menyasarkan golongan penduduk bandar, dengan menambah baik Skim Rumah Pertamaku bagi golongan berpendapatan kurang daripada RM 3,000 ringgit. "Kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000. Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012."
Di kawasan luar bandar, RM29.8 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Malah, RM200 juta diperuntukkan bagi program pembangunan usahawan dan kontraktor Bumiputera di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
RM90 juta diperuntukkan untuk penyediaan kemudahan asas termasuk memperluaskan projek bekalan air terawat serta program penjanaan pendapatan orang asli, sementara RM20 juta diperuntukkan bagi pemindahan penduduk kawasan Sungai Ruil, Cameron Highlands yang ditimpa tanah runtuh, ke kawasan perumahan baru.
Seperti biasa, FELDA yang diibaratkan sebagai "kubu UMNO" tidak dilupa dalam Belanjawan 2012, lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana semakin banyak kes saman oleh peneroka FELDA yang diheret ke mahkamah. Najib, secara terang-terang menjanjikan bahawa "setiap peneroka akan menerima 'durian runtuh' yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti", sebelum penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings atau FGVH sebagai sebuah syarikat berstatus konglomerat global sebelum pertengahan tahun 2012.
Apa yang menarik, golongan "pemilik teksi" telah mendapat perhatian daripada kerajaan, dengan menawarkan beberapa bantuan yang dijangka bernilai kira-kira RM7,560 untuk setiap pemilik teksi bajet persendirian. Malah, kerajaan memanjangkan pemberian bantuan kepada pemilik teksi bajet ini kepada pemilik kereta sewa persendirian.
Meniru Belanjawan Pakatan Rakyat?
Sepanjang pembentangan Najib yang merangkap jawatan Menteri Kewangan, beberapa pemimpin dari Pakatan Rakyat menuduh dalam twitter bahawa belanjawan ini meniru "Bajet Alternatif" Pakatan Rakyat, yang dibentangkan oleh Ketua Parlimen Anwar Ibrahim pada 4 Oktober 2011. Golongan pendidik, pemandu teksi yang disentuh dalam Belanjawan 2012, sebelum ini ditawarkan layanan dan pemberian lesen oleh Pakatan Rakyat.
Berbalik kepada Belanjawan 2012, tidak keterlaluan seandainya ia disifatkan sebagai belanjawan BN untuk berdepan dengan persaingan Pakatan Rakyat. Sesungguhnya, "gula" ditaburkan sewenang-wenangnya, atas nama "keperihatinan terhadap rakyat" (meskipun langkah yang sama oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Pakatan Rakyat sebelum ini, iaitu pemberian RM100 kepada warga emas, disifatkan sebagai "populis"), persoalannya, apakah masalah pokok boleh diselesaikan hanya dengan menabur peruntukan?
Misalnya, dalam Fokus Keduanya, Mengungguli Modal Insan Mencerna Kreativiti dan Mencetus Inovasi, RM100 juta diperuntukkan untuk mengatur beberapa inisiatif strategik, sempena tahun 2012 yang diumumkan sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional. Kerajaan mungkin menganggap, dengan membiayai program tertentu, maka generasi yang kreatif dan inovatif bakal dilahirkan. Namun, peruntukan berbilion-bilion sepanjang tahun ini dalam pendidikan tinggi tidak meletakkan walaupun sebuah universiti tempatan sebagai 400 universiti terbaik di dunia, sebagaimana yang disenarai majalah Times Higher Education (THE), baru-baru ini.
Ia bermakna "inovasi" memerlukan "suasana" untuk bercambah. Dalam suasana politik rakyat boleh ditangkap hanya kerana memakai pakaian "kuning", dan siswa ditutup mulut kerana mengadakan sidang media, ditambah pula budaya dalam kampus yang mencengkam kebebasan, "peruntukan" tidak membawa kita ke matlamat yang disasarkan.
Sebagai pemerintah, kerajaan Najib dengan segala kuasa yang ada semestinya mampu menawarkan sesuatu yang lebih baik berbanding pembangkang, dari segi sumber, kewangan dan kebendaan. Malah Najib menyindir pembangkang yang kononnya "menjanjikan bulan dan bintang" sebermulanya. Penaburan "gula" sesungguhnya menyukarkan kedudukan Pakatan Rakyat di kawasan "miskin-informasi". Di sini kita menghitung hari-hari terakhir sebelum PRU ke-13.
**Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan