MALAYSIA KINI
Sekumpulan NGO Islam yang merancang mengadakan perhimpunan anti-Murtad berkata, ketegasan dan komitmen Sultan Selangor dalam kenyataan baginda kelmarin, telah membuat seluruh ahlinya bertambah yakin terhadap usaha mempertahan dan menyelamatkan aqidah umat Islam di negara ini.
Perhimpunan yang dinamakan 'Himpunan Sejuta Umat' itu akan diadakan di Stadium Utama Shah Alam pada jam 2 petang 22 Oktober ini.
"Kenyataan oleh istana telah menjadikan kita, pemimpin NGO Islam dan ahli-ahli kami, lebih yakin dalam usaha untuk mempertahan dan menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini," kata setiausaha sekretariat Himpun, Aminuddin Yahaya dalam satu kenyataan.
"Kami yakin ratusan ribu akan membanjiri stadium demi menzahirkan isi hati mereka mengenai ancaman aqidah dan pada masa yang sama akan terbayang solidariti dan konsolidasi umat Islam tanpa mengira latarbelakang keturunan, sosio ekonomi dan fahaman politik masing-masing," tambahnya.
Dalam satu kenyataan Isnin lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.
Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan dalam hasil siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu.
Bagaimanapun, titah baginda, bukti yang diperolehi tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.
Baginda juga menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS memantau rapi dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa teragak-agak terhadap usaha itu.
"Pihak istana dan rakyat negeri Selangor khasnya boleh meletakkan kepercayaan kepada kami untuk memikul tanggungjawab yang berat ini bagi menentukan hasrat dan iltizam Tuanku dan rakyat terbanyak untuk tidak mengizinkan sama sekali apa jua tindakan memesongkan aqidah umat Islam," tambah Aminuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan