Sabtu, 1 Oktober 2011

K'jaan S'gor cabar MCA debat isu premium tanah

Joseph Sipalan


Kerajaan negeri Selangor hari ini mencabar MCA Selangor berdebat mengenai sistem baru pembaharuan pajakan kediaman yang digunapakai di negeri itu baru-baru ini.

ngo pro selangor government rally 230111 faekahSetiausaha politik kepada menteri besar, Faekah Husin (kiri) berkata ketua jabatan aduan dan perkhidmatan awam MCA Selangor, Theng Book telah secara membuta tuli menuduh kerajaan negeri "menipu" orang ramai berhubung pemilikan penuh rumah tanpa mengetahui apa yang beliau cakapkan.

Sebaliknya, Faekah menuduh Theng cuba untuk bercakap bagi pihak sekelompok masyarakat yang “tertekan” dengan struktur premium baru itu.

Katanya, semakan rambang yang dijalankan mendapati ribuan ekar tanah yang dahulunya diberimilik oleh kerajaan BN kepada individu dan syarikat kroni, belum menjelaskan bayaran premium walaupun sudah menjangkau 10 tahun lamanya.

"Kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan pemberimilikan tanah-tanah tersebut kerana kegagalan mereka membayar premium pada masa yang ditetapkan.

"Banyak rayuan yang diterima pejabat menteri besar kerana kebanyakan mereka mahukan kadar premium lama dikenakan. Justeru, Theng adalah jurucakap bagi kelompok “terseksa” ini," kata Faekah dalam satu kenyataan hari ini.


Faekah berkata demikian bagi menjawab dakwaan Theng semalam bahawa kerajaan negeri menafikan penduduk Selangor pemilikan penuh rumah masing-masing melalui RM1,000 skim lanjutan untuk pajakan mereka.

Theng (kanan) menuduh kerajaan negeri mengelirukan orang ramai supaya menerima skim baru itu, yang beliau sifatkan sebagai tidak lebih baik daripada lesen pendudukan sementara (TOL).

Menurut Faekah, kerajaan negeri Selangor bersungguh-sungguh membantu rakyat Selangor untuk memiliki rumah/tanah terutama mereka yang selama ini duduk merempat di negeri sendiri.

"Ini termasuk penduduk yang puluhan tahun memohon geran tanah namun di kesampingkan kerajaan terdahulu. Apabila kita membuat keputusan untuk mengeluarkan geran tanah yang sah, maka terdapat juga golongan kurang mampu membayar premium tanah pada kadar semasa.

"Justeru, kita memberi dua piliihan kepada rakyat yakni sama ada mengikut skim lama yang mana kadar premium mengikut kadar semasa tanah atau skim baru yang hanya perlu membayar RM1,000 untuk memiliki geran," jelasnya.

Menurut Faekah lagi, skim baru itu juga menetapkan jika pemilik tanah/rumah berhasrat menjual tanah tersebut, mereka perlu menjelaskan keseluruhan premium yang dikenakan.

"Ini dikira adil kerana tanah dijual pada nilai semasa dan sudah tentulah pemiliknya mampu untuk membayar premium yang ditetapkan mengikut kadar semasa. Skim ini kita gubal agar rakyat negeri ini hidup bermaruah dengan memiliki geran tanah sejajar dengan semangat Selangorku," tambahnya.

Meskipun demikian, jelasa beliau, jika rakyat melihat skim lama yang ditawarkan adalah lebih baik, mereka boleh memilih kekal dengan skim lama.

"Adakah ini dikatakan penipuan? Bukankah ini sebenarnya polisi untuk kebajikan rakyat? Sebelum Pakatan Rakyat memerintah, kita dapati banyak keputusan berkenaan hal ehwal tanah dibuat sebagai keputusan politik.

"Jika individu itu mempunyai kepentingan politik, maka mudahlah untuk mendapat tanah atau sebarang kelulusan melibatkan tanah, jika tidak jangan memasang angan-angan untuk memiliki tanah di Selangor walaupun mereka sebenarnya layak.

mca anti ong dinner puchong 160508 theng book"Kita yakin rakyat Selangor mahukan kerajaan hari ini berlaku adil dan menjaga hakmilik negeri ini dari terus dikaut para kroni, pelobi dan jurucakap seperti Theng (kanan)," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Theng atau pemimpin BN lain
berdebat mengenai isu ini di Petaling Jaya supaya rakyat metropolitan di sana melihat sendiri wajah sebenar beliau dan seluruh kepemimpinan MCA.

"Rakyat telah jelak dengan sandiwara pemimpin hanya tahu berpaut pada isu untuk menyelamatkan karier politik dan bukannya berjuang untuk rakyat.

"Kita menuntut Theng dan MCA memohon maaf dari kerajaan negeri Selangor dan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Selangor yang telah bekerja keras dan berhempas pulas untuk menghasilkan formula murni ini demi kebaikan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: