"Tetapi kemenangan Umno sendirian tidak cukup kerana Gerakan dan MCA kalah semua kerusi yang mereka bertanding," kata ketua Umno Bukit Gelugor.
PETALING JAYA: Umno Pulau Pinang menegaskan BN tidak akan mampu merampas Pulau Pinang jika Gerakan dan MCA terus ditolak pengundi dalam pilihan raya ke 13 nanti.
Ketua Umno Bukit Gelugor Datuk Omar Faudzar berkata, Gerakan dan MCA kalah besar dalam pilihan raya umum 2008.
Menurutnya, Umno cuma kalah empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 15 yang ditandingi dan dua dari empat kerusi Parlimen pada 2008.
“Tetapi kemenangan Umno sendirian tidak cukup kerana Gerakan dan MCA kalah semua kerusi yang mereka bertanding.
“Prestasi kedua-dua parti itu sangat buruk dalam pilihan raya umum 2008. Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN” katanya hari ini.
Omar mengulas keyakinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN mampu merampas Pulau Pinang dalam pilihan raua umum akan datang.
Najib membuat kenyataan demikian ketika berucap merasmikan perasmian perhimpunan agung Gerakan di Kuala Lumpur semalam.
Janji Umno kepada Gerakan, MCA
Ketua Umno Bukit Gelugor itu juga mengulas kenyataan Najib bahawa pemimpin Umno tidak akan dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang jika BN menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Omar berkata, Umno telah membuat perjanjian dengan Gerakan dan MCA bahawa parti orang Melayu itu tidak akan menjadi Ketua Menteri.
“Umno akan berpegang teguh dengan janji yang telah dibuat dengan Gerakan dan MCA itu,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Umno Bukit Mertajam Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, Umno bercadang bertanding lebih banyak kerusi DUN dalam pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya, ini kerana prestasi baik yang ditunjukkan parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Mengenai Gerakan dan MIC, Musa berkata, kedua-dua parti berkerja kuat untuk mendapatkan semula sokongan pengundi Cina.
“Ada kemungkinan mereka akan menang semula dalam pilihan raya umum ke 13 kelak,” tambahnya.
Pakatan Rakyat merampas Pulau Pinang setelah menang besar dalam pilihan raya 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan