Isnin, 17 Oktober 2011

Pemuda PAS bidas Najib kata pilihan raya adil

FREE MALAYSIA TODAY

Ketua Penerangan, Riduan Mohd Noor menganggap Najib terlupa sejarah pilihanraya umum di Malaysia yang menyaksikan bagaimana BN memainkan peranan bagi memenangi setiap pilihan raya berlangsung.



PETALING JAYA: Pemuda PAS tetap menolak dan membidas kenyataan Perdana Menteri yang berkata pilihan raya di negara ini adil kepada pembangkang dan BN tidak pernah memanipulasi proses pilihan raya.

Ketua Penerangan, Riduan Mohd Noor menganggap Najib terlupa sejarah pilihanraya umum di Malaysia yang menyaksikan bagaimana BN memainkan peranan bagi memenangi setiap pilihan raya berlangsung.

“Barangkali Najib tidak mengerti definisi sebenar adil menurut perspektif yang betul. Untuk itu, DPPM ingin menanyakan beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh Najib bagi membuktikan bahawa kenyataannnya betul.

“Dalam sejarah pilihanraya umum berlangsung sejak dahulu sehingga sekarang, bilakah media milik kerajaan Umno-BN benar-benar bersih daripada kongkongan parti pemerintah?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Riduan, setahu Pemuda PAS, tidak pernah media rasmi negara bebas dalam melaporkan hal yang sebenarnya.

PAS dan Pakatan Rakyat tambahnya, sejak dahulu tidak pernah mendapat liputan yang adil daripada media rasmi.

Ditujah dan diserang

Menurutnya, pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat selalu ditujah dan diserang dari pelbagai penjuru bagi memburukkan imej PAS di mata masyarakat.

“Pernahkah kerajaan Najib memberi kebebasan untuk pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat tampil di media rasmi negara bagi berkempen sebagaimana pemimpin Umno perolehi setakat ini?

“Dalam soal undi pos, PAS telah banyak kemukakan bukti serta saksi betapa undi pos digunakan sebagai alat untuk memenangkan parti pemerintah.

“PAS pernah membawa beberapa orang bekas anggota tentera yang mengaku pernah mengundi banyak kali dalam sesebuah pilihan raya umum. Adakah Najib mahu menafikan lagi hal ini?

“Memang benar ada tempat yang undi pos memihak kepada PAS, tetapi berapa sangatkah jumlah keseluruhannya berbanding undi yang diperolehi oleh Umno-BN.

“Pemuda PAS ingin bertanya, jika betul BN sebagai adil, bolehkah undi pos dimansuhkan dan digantikan dengan undi biasa sepertimana rakyat biasa.

Berat sebelah

Riduan juga mendakwa, dalam soal berkempen, apakah Najib lupa bahawa Umno-BN selalu bertindak berat sebelah.
Seluruh jentera kerajaan, tambahnya dikerah bagi berkempen dalam sesebuah pilihanraya, sama ada pilihanraya kecil atau umum.

“Para guru, pegawai kerajaan, tentera, polis dan lain-lain digunakan sebagai alat berkempen. Seolah-olah pilihanraya kecil atau umum adalah milik Umno-BN.

“Adakah Najib mahu menafikan hal ini, dan adilkah sebuah kerajaan melawan sebuah parti pembangkang dalam pilihanraya?” tambahnya lagi.

Menurut Riduan, Pakatan Rakyat memenangi banyak negeri di Semenanjung bukan membuktikan BN itu adil, tetapi rakyat telah melihat kebenaran.

Kebenaran tidak boleh disorok, maka kejahatan yang dibuat tidak mampu menenggelamkan kebenaran yang diterima rakyat

Tiada ulasan: