Ini termasuk cubaan untuk melaga-lagakan antara penganut agama lain yang tidak terdapat sebarang bukti kesalahan seperti yang diputuskan oleh mahkamah.
PETALING JAYA: PAS Selangor mengingatkan penganjur Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) supaya berhati-hati dengan acara tersebut dan tidak menimbulkan ketegangan antara agama di negeri itu.
Ini termasuk cubaan untuk melaga-lagakan antara penganut agama lain yang tidak terdapat sebarang bukti kesalahan seperti yang diputuskan oleh mahkamah.
Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berkata, penganjur perlu lebih fokus kepada perbincangan mengenai ancaman sebenar terhadap akidah umat Islam seperti perkauman, sekularisme, dan cara untuk menghadapinya berbanding menyentuh isu sensitiviti agama lain.
“Adalah diharap pihak penganjur tidak akan terpengaruh dengan usaha pihak tertentu untuk menimbulkan ketegangan di antara agama di negeri Selangor ini.
“Tindakan sedemikian adalah satu agenda politik dan bertujuan untuk menyerang kerajaan Pakatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tindakan sedemikian hanya bertujuan untuk menutup masalah yang menimpa akidah umat Islam yang dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebaliknya meletakkan kesalahan itu kepada pihak yang lain.
Beliau berkata masalah itu meliputi isu penyelewengan dan rasuah termasuk dilema pelaksanaan hukum hudud di negara ini.
Asingkan politik dari agama
“Masalah melalui fahaman Barat terus mencengkam pemikiran dan kepercayaan umat Islam di negara kita.
“Dasar ‘politik perlu diasingkan dari agama’ terus diamal dan dipertahankan ramai dari kalangan umat Islam.
“Ramai juga yang terus jahil tentang sistem perundangan Islam dan atas sebab itu memperlekeh hukum hudud yang merupakan sebahagian dari sistem perundangan Islam,” katanya.
Dr Rani berkata selagi fahaman sekular ini tidak ditolak, selagi itulah umat Islam akan lemah kerana akidah mereka tercemar dengan fahaman sedemikian.
Walau bagaimanapun Dr Rani berkata pihaknya masih tetap menyokong penganjuran Himpun atas dasar usaha penganjur untuk memantapkan akidah masyarakat Islam.
“Adalah merupakan pendirian PAS Selangor bahawa masa depan Selangor terletak pada kemampuan rakyat untuk mengekalkan suasana keamanan dan keharmonian antara agama dan pada masa yang sama umat Islam semakin didekatkan kepada ilmu akidah yang sebenar,” katanya.
Himpun dianjurkan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Sabtu ini di Stadium Melawati Shah Alam yang bermatlamat mengangkat membangkitkan kesedaran dan menuntut tindakan supaya pihak-pihak yang berkuasa serta pihak yang berniat untuk menggugat akidah umat Islam berhenti daripada meneruskan agenda sedemikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan