Selasa, 18 Oktober 2011

Kita Kedah lancar manifesto sendiri hadapi pilihan raya

"Manifesto ini menawarkan kebajikan kepada rakyat negeri Kedah," kata Pengerusinya Zamil Ibrahim.


PETALING JAYA: Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) menawarkan manifesto sendiri bagi rakyat Kedah dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Kita Kedah, Zamil Ibrahim pelancaran manifesto itu akan diadakan pada awal bulan November depan.

“Manifesto ini berbeza dengan manifesto Kita Pusat kerana ia memfokuskan kebajikan kepada rakyat negeri Kedah.

“Saya berharap rakyat Kedah akan membuat pilihan parti mana yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Kita yang sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) diketuai oleh bekas menteri kabinet, Datuk Zaid Ibrahim.

Sebelum ini Zaid membayangkan Kita memberi tumpuan kepada Selangor dan Kelantan dalam pilihan raya umum ke 13.

Enggan dedah

Bagaimanapun, Zamil enggan mendedahkan kandungan manifesto berkenaan tetapi memberi jaminan ia adalah manifesto terbaik untuk rakyat Kedah.

Dalam perkembangan berkaitan, Kita negeri masih mencari calon yang sesuai untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke 13.
“Sudah ada calon tetapi masih belum cukup, jadi Kita berusaha mencari calon lagi untuk mencukupkan jumlahnya,” tambahnya.

Menurul Zamil, Kita mahu bertanding lima tau enam kerusi Parlimen dan 10 hingga 15 kerusi DUN di Kedah.

Pilihan raya umum dijangka diadakan awal tahun depan walaupun tempoh Parlimen berakhir pada Mac 2013.

Ketika ini Kedah diperintah oleh Pakatan Rakyat pimpinan PAS setelah mengalahkan BN dalam pilihan raya umum 2008.

Tiada ulasan: