Jumaat, 7 Oktober 2011

Akta GST: Apa-apa pun mungkin, kata Nazri

TERKINI



KUALA LUMPUR— Kerajaan tidak akan membentangkan rang undang-undang yang akan membuka laluan kepada pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) meskipun hari ini ia disenaraikan dalam aturan mesyuarat sidang Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu The Malaysian Insider bahawa akta kontroversial itu tidak akan dibacakan hari ini meskipun disenaraikan sebagai rang undang-undang yang ketiga dalam aturan mesyuarat hari ini.

Bagaimanapun ketika ditanya sama ada akan dibahaskan sebaik sahaja Bajet 2012 diluluskan, Nazri (gambar) berkata, “kemungkinan juga selepas pilihan raya, apa sahaja mustahil.”

“Ya, kami akan balik awal hari ini,” katanya ditanya sama ada prosiding hari ini ditangguhkan sebelum tiba giliran rang undang-undang GST untuk dibahaskan.

Bajet 2012 akan dibentangkan esok dan Dewan Rakyat akan membahaskannya mulai Isnin ini.

Pada 14 Mac lalu, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata rang undang-undang GST tidak akan dibentangkan bagi bacaan kedua pada sesi Parlimen Mac-April kerana kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk mengumpul maklum balas dari rakyat.

“Ia (GST) tidak akan dibentangkan bagi bacaan kedua pada sesi (Parlimen) Mac/April kerana kita memerlukan lebih banyak masa untuk mendapatkan maklum balas dari orang ramai.

“Kami mahukan pendapat orang ramai mengenai GST,” kata Husni.

Sesi semasa Oktober-Disember bermula Isnin lalu.

Rang undang-undang itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Parlimen Disember lepas.

Mengenai bila ia akan dibentangkan, Husni ketika itu juga berkata: “Ia akan bergantung kepada perbincangan dengan orang ramai mengenai bagaimana rakyat melihat pelaksanaan GST itu. Jadi, kita tidak menetapkan satu tempoh masa mengenai perkara itu.”

GST yang dicadang dikuatkuasakan pada suku ketiga tahun depan itu, bermatlamat untuk melebarkan asas cukai dan mengurangkan defisit negara.

Tiada ulasan: