MADINAH — Badan pengurusan perjalanan haji Arab Saudi di kota Madinah memperkenalkan beberapa peraturan baru tahun ini bagi kemudahan dan keselesaan jemaah haji.
Pengerusi Muasassah Adillak (National Adilla Establishment) Dr Yusof Hawala berkata pada musim haji tahun ini, para jemaah tidak akan dibenar meninggalkan Madinah menuju ke Mekah bagi menyempurnakan urusan haji selepas pukul 11 malam.
Beliau berkata peraturan itu bertujuan memberikan keselesaan kepada jemaah haji apabila mereka tiba di Makkah nanti, bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan lebih sempurna dan selamat.
“Jemaah juga diminta meninggalkan Madinah untuk ke Makkah selewat-lewatnya 5 Zulhijjah (empat hari sebelum hari wukuf),” katanya kepada kumpulan petugas media Tabung Haji di sini.
Dipetik Bernama Online, beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama dengan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman yang membuat kunjungan hormat di pejabatnya.
Dr Yusof berkata bagi fasa dua urusan haji pula, para jemaah hanya dibenar memasuki kota Madinah selepas 14 Zulhijjah, iaitu lima hari selepas hari wukuf untuk program ziarah.
Beliau berkata segala usaha yang dilakukan pihaknya disasarkan untuk memberi kemudahan keluar dan masuk jemaah haji di kota Madinah, agar dapat memberi keselesaan kepada para jemaah dalam menunaikan rukun Islam yang kelima itu.
Merujuk kepada urusan haji jemaah dari dari Malaysia, katanya beliau mendapat kerjasama yang cukup baik daripada Tabung Haji yang banyak mengadakan perbincangan dengan pihaknya untuk melicinkan perjalanan haji.
Beliau berkata pihak Tabung Haji mengadakan beberapa perjumpaan dengan pihaknya sejak awal tahun, dan beliau berharap hubungan baik dengan Tabung Haji itu akan berterusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan