Kesudian SPB Tuanku menerima kunjungan dari wakil BERSIH untuk mengadap amat dihargai. Sepertimana juga titah Baginda yang jelas terbukti dibuat secara adil dan saksama. Hasil dari pertemuan tersebut pihak BERSIH sekali lagi membuktikan keikhlasan mereka dengan menyatakan kesediaan mereka untuk menganjurkan perhimpunan tersebut di dalam sebuah Stadium di Kuala Lumpur.
Cadangan untuk diadakan di Stadium telah terlebih dahulu dicadangkan oleh Hishamuddin dan diulangi oleh Najib sendiri. Oleh itu, sekarang kita ingin melihat sejauhmana pihak kerajaan BN akan mengotakan apa yang mereka sendiri nyatakan!
Sebaliknya pihak keselamatan seharusnya memikirkan langkah yang perlu diambil bagi memudahkan perhimpunan tersebut diadakan. Mereka harus menghalang mana-mana pihak yang ingin mengganggu perhimpunan tersebut. Ianya patut dilayani seperti mana-mana perhimpunan yang sah seperti perhimpunan ‘1 Juta’ belia di Putrajaya tempohari.
Sekiranya usaha menghalang dan mengharamkan tetap diteruskan, ini bererti tawaran Hishamuddin dan Najib TIDAK ikhlas. Ianya secara tidak langsung memberi gambaran bahawa titah SPB YDP Agong yang inginkan isu ini ditangani secara adil dan bijaksana, tidak diendahkan samasekali oleh pihak kerajaan yang tetap berkeras dengan agenda yang ingin menundukkan rakyat dengan apa cara sekali pun.
Adalah tidak munasabah pihak keselamatan bertindak sedemikian rupa apabila perhimpunan ini telah dipersetujui dan diberikan kelulusan oleh pihak kerajaan sendiri. Sebagai contoh, kesesakan lalu lintas yang jelas dihasilkan sekatan jalan raya pada hari ini 6 Julai, sedangkan kesediaan BERSIH untuk memindahkan perhimpunan ke Stadium telah dinyatakan sejak semalam lagi. Atau apakah mungkin pihak keselamatan sudah tidak mengendahkan lagi arahan PM dan Menteri dalam Negeri?
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan