Rabu, 27 Julai 2011

Rajagobal: Malaysia guna formula video atasi Singapura esok

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Ketua jurulatih Datuk K Rajagobal berkata, beliau ada formula terbaik ‘membakar’ semula semangat barisan Harimau Malaya yang luntur untuk bangkit mengatasi defisit dua gol dalam perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura malam esok.

Perlawanan esok akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Rajagobal mengakui bahawa formula yang digunakan adalah dengan menayangkan semula video ‘detik emas’ ketika mereka bangkit daripada kekalahan sebelum mengukir sejarah menjulang Piala Suzuki AFF tahun lalu dan Sukan SEA 2009.

“Kekalahan dalam perlawanan pertama Sabtu lalu bukan penamat perjuangan pasukan kerana mereka masih ada baki 90 minit lagi untuk membuat perhitungan terakhir dengan lawan. Lagipun, ini bukan pengalaman pertama pemain tewas dan menghadapi detik sukar seperti ini,” kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.

Sabtu lalu, Singapura mengatasi Malaysia 5-3.

Sebaliknya, pemain pernah menghadapinya ketika tewas sebelum bangkit dengan membuktikan kemampuan dan mengejutkan semua pihak apabila memenangi emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF, kata ketua jurulatih ini.

“Jadi, saya yakin pemain mampu melakar keajaiban itu sekali lagi dengan bangkit menewaskan lawan Khamis ini (malam esok),” kata beliau.

Rajagobal berkata, dia menghargai pandangan dan kritikan pelbagai pihak berikutan kekalahan itu, tetapi menegaskan kekalahan kepada skuad Singa sama sekali tidak membimbangkan atau memaksanya menekan butang panik untuk merombak pasukan.

“Bukan saya tidak mahu memanggil pemain lain seperti Norhafiz (Zamani Misbah) bagi memperkuatkan benteng, tetapi semua pihak harus faham ia bukan mudah untuk Norhafiz beraksi dalam 90 minit sejurus selepas pulih daripada kecederaan.

“Jadi, saya harus percaya dengan pemain yang ada dan semua pihak juga harus mempercayai mereka. Berilah sokongan padu kepada mereka dan saya yakin mereka akan membalasnya dengan menebus kekalahan dan menundukkan lawan nanti,” katanya.

Tiada ulasan: