Khamis, 14 Julai 2011

Pusat Hiburan: Peraturan waktu operasi bulan Ramadan wujud era BN, kata MB

THE MALAYSIAN INSIDER

ALOR SETAR – Peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di Kedah tertakluk kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997, dan bukannya dasar baru.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata enakmen itu terpakai sejak Barisan Nasional (BN) mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum ini.

Beliau berkata menurut enakmen itu, kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

Dipetik laporan Bernama Online, kata beliau, terdapat pengecualian untuk pertunjukan berkaitan keagamaan dan kepercayaan sesuatu kaum dengan syarat tidak menimbulkan kekacauan, selain mendapat sokongan daripada pegawai pelesenan.

“Permohonan itu pula perlu dikemukakan pada Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan. Contohnya bulan Ogos kaum Cina mahu meraikan Hungry Ghost Festival, jadi mereka perlu mohon secara bertulis untuk pertimbangan,” katanya hari ini.

Semalam, beberapa pengusaha pusat hiburan Cina tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri tidak membenarkan lesen hiburan diperbaharui sepanjang Ramadan, dan mahukan penjelasan kerana mendakwa menanggung kerugian jika premis terpaksa ditutup selama sebulan.

Azizan berkata bagi pusat snuker dan kafe siber pula, pihaknya mungkin menyemaknya semula kerana ia bukan bentuk hiburan tetapi diletakkan di bawah kategori hiburan.

“Minta PBT (pihak berkuasa tempatan) perjelaskan secara terperinci apakah yang dimaksudkan dengan hiburan. Dari dahulu lagi dalam bulan Ramadan, tidak ada aktiviti hiburan. Malah diadakan beberapa peraturan untuk bukan Islam mematuhinya,” katanya.

Sementara itu, Azizan berkata tiada masalah untuk kedai makan dan restoran Cina beroperasi sebelum pukul 3 petang pada bulan Ramadan kerana ia tidak terlibat dengan peraturan supaya beroperasi hanya selepas pukul 3 petang pada bulan Ramadan walaupun kedai Cina itu mungkin mempunyai pekerja yang beragama Islam.

Tiada ulasan: