Jumaat, 15 Julai 2011

PSM dakwa EO ganti ISA

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) terus mendakwa kerajaan menggunakan Ordinan Darurat (EO) menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan enam aktivis parti itu untuk mengaburi mata rakyat.

Pengerusinya, Dr. Nasir Hashim berkata, aktivis PSM tidak seharusnya ditahan di bawah EO kerana mereka bukan penjenayah sebaliknya bergerak di bawah parti yang sah.

"Kawan-kawan kami terperangkap dalam akta ini dan EO tak boleh digunakan ke atas orang politik. Ia hanya untuk penjenayah yang sangat berbahaya," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), dekat sini hari ini.

Beliau yang pernah ditahan di bawah ISA juga berkata, cara tahanan di bawah EO sama seperti ISA yang penuh dengan tekanan.

"Dalam ISA akan ditimbulkan pelbagai kemungkinan. Saya tak percaya kalau sesorang tahanan itu membuat sesuatu pengakuan selepas 60 hari ditahan kerana mereka mengalami pelbagai tekanan," katanya yang juga Adun Kota Damansara.

Sementara itu, bendahari GMI, Nashita Md Nor berkata, kerajaan takut untuk menggunakan ISA kerana rakyat sudah celik mengenai akta zalim itu.

"Rakyat sudah biasa dengan ISA, daripada kempen penerangan kita dan sebagainya tapi EO rakyat tak biasa lagi. Sebab itu kerajaan berani guna EO," katanya.

Beliau turut mendakwa EO lebih teruk daripada ISA kerana selain daripada ditahan tanpa bicara, tahanan juga akan disumbat ke Penjara Simpang Renggam bersama penjenayah yang terlibat dengan pelbagai kesalahan berat.

"Menurut peguam Edmund Bon, terdapat kira-kira 1,000 tahanan di Simpang Renggam dan tempatnya sangat penuh dengan penjenayah dari pelbagai latar belakang kesalahan," katanya.

ISA versi baru

Aktivis GMI, Norlaila Othman yang juga merupakan isteri bekas tahanan ISA, Mat Sah Satray dalam sidang media sama menyifatkan EO sebagai "ISA versi baru".

Beliau berkata, daripada pengalaman suaminya yang ditahan selama tujuh tahun di kem Kamunting, tindakan yang dilakukan terhadap enam aktivis ini sama dengan apa yang pernah dilalui oleh suaminya yang ditahan kerana dituduh terlibat dengan gerakan Jemaah Islamiyah.

Antaranya mengenai soalan-soalan yang ditanya kepada tahanan dan dipaksa untuk menyetujui jawapannya.

Tahanan juga katanya akan dikaitkan dengan gerakan komunis dan musuh utama kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bila saya dan suami saya tengok soalan-soalan dan jawapan ini, sama sebiji dengan apa yang pernah diberikan kepada suami saya.

"Memang sama dengan ISA. Ada satu soalan, satu jawapan. Hari-hari begitu, nak atau tidak memang kena terima.

"Apa yang disoal sama dengan ISA.Dikaitkan dengan komunis, dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar, nak tunjukkan betapa bencinya kerajaan dengan Anwar," katanya yang melalui pelbagai cabaran dan tekanan sepanjang bergerak aktif dalam GMI.

Beliau turut mencadangkan segala pendedahan itu ditulis dalam blog yang diuruskan oleh aktivis agar maklumat samapai keapda rakyat.

"Semasa suami saya dalam tahanan, memang saya menulis dalam blog dan saya rasa dalam hal EO ini juga perlu dicatat dalam blog supaya dapat diketahuai oleh ramai orang mengenai EO ini," katanya.

Tiada ulasan: