KUALA LUMPUR — Putrajaya memperakui bekas setiausaha politik DAP Teoh Beng Hock tidakmati dua tahun lalu jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mematuhi prosedur-prosedur siasatan yang sewajarnya dengan betul.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan, beliau tetap bersetuju dengan cadangan suruhanjaya diraja kerana apa yang telah berlaku adalah satu kematian.
Pada sidang media Khamis lalu juga, Nazri berkata kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang melanggar prosedur SPRM berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.
Katanya, hasil siasatan suruhanjaya itu juga mendapati bahawa tiga pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan keterlaluan ke atas Teoh yang didapati melanggar prosedur sedia ada.
Dalam satu temu bual hari ini, tegas Nazri, kematian melibatkan Teoh tidak berlaku kalau sisatan dijalankan mengikut standard siasatan yang telah ditetapkan dan menepati piawaian yang memuaskan.
“Apabila berlaku keadaan macam ini kita kena teima hakikat bahwa ada perkara-perkara yang tidak patut dilakukan,” kata Nazri sambil menambah, “saya ingin mencadangkan supaya SPRM yang bekerja rapat dengan badan pencegahan rasuah di Hong Kong supaya mengikut cara mereka bekerja.”
“Dulu mereka belajar daripada kita, sekarang mereka berada di kedudukan nombor satu,” katanya lagi.
Nazri menambah, prosedur operasi standard (SOP) di Hong Kong mempunyai piawaian yang sangat tinggi dan SPRM seharusnya berunding dengan badan pencegahan rasuah berkenaan.
“Ikut dan contohilah mereka,” kata beliau lagi dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia edisi hari ini.
“Di Hong Kong tuntutan kepada demokrasi sangat kuat, mereka tidak akan bertolak ansur dengan badan pencegahan rasuah di sana kalau SOP yang diamalkan adalah tidak baik,” kata menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal perundangan dan Parlimen ini.
Nazri juga berkata, kerajaan perlu mengakui bahawa sudah tentu ada kelemahan dalam sistem semasa.
“Jangan nafi. Saya bukan tidak hendak mempertahankan pegawai-pegawai ini tetapi saya percaya dan tahu ada perkara yang berlaku.
“Berdasarkan laporan yang kita baca jelas menunjukkan bagaimana siasatan dijalankan secara berterusan,” katanya yang turut mahu SPRM membetulkan diri.
“Dunia dahulu mungkin berbeza, orang tak banyak buat aduan, aliran maklumat juga sangat perjalan, tetapi sekarang apa saja berlaku sekelip mata, semua orang tahu. Mereka mesti berubah,” katanya lagi.
Suruhanjaya siasatan terdiri daripada lima anggota diketuai oleh seorang hakim telah menjalankan prosiding siasatan selama 50 hari dan memanggil 70 saksi.
Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.
Bagaimanapun menurut Nazri, beliau tidak melihat imej SPRM terjejas dengan penemuan siasatan diraja atas alasan dalam mana-mana organisasi ada segelintir kakitangan yang membuat sesuatu tidak mengikut peraturan.
“Namun pada saya ia tidak menjejaskan kerja baik yang selama ini dilakukan SPRM untuk membendung rasuah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan