Isnin, 25 Julai 2011

Kesalahan yang sama, kesilapan yang berulang-ulang.

Oleh Kedambore


Beberapa isu tentang perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu masih terus diperkatakan, baik dari pihak penganjur, orang awam, polis atau kerajaan sendiri.

Antaranya kes kematian pejuang Bersih iaitu Allahyarham Baharudin Ahmad yang disahkan oleh doktor berpunca dari serangan jantung. Tetapi laporan lengkap hasil bedah siasat itu masih belum didedahkan.

Adalah pelik, sesudah punca kematian disahkan sebagai serangan jantung, mengapa hingga kini masih belum ada laporan bertulis mengenainya?

Kemudian timbul berita yang mengatakan bahawa Allahyarham tercedera dan tiga tulang rusuknya patah. Kenyataan dari pihak Kementerian Dalam Negeri pula dalam kenyataannya mendakwa bahawa mungkin ia berpunca dari rawatan cardiopulmonary resuscitation (CPR).

“Mungkin” dalam hal ini menunjukkan ia sesuatu yang belum pasti. Dan yang berhak memastikannya bukanlah polis, sebaliknya pihak doktor atau hospital, apatah lagi “mungkin” itu masih belum ada laporan lengkap dan rasmi. Maka di sini, polis sudah membuat spekulasi.

Soalannya, bagaimana polis boleh membuat spekulasi? Ini amat berbahaya kerana yang mengeluarkan kenyataan itu adalah seorang pegawai yang mewakili badan rasmi dan penting dalam negara kita.

Kegopohan pihak kerajaan membuat spekulasi sebegini amat tidak profesional dan ia menunjukkan bahawa mereka sangat terdesak hingga melupakan garis kuasa dan etika professionalismenya. Kredibiliti polis dan Kementerian Dalam Negeri terjejas dan buruk sekali.

Cuba bayangkan jika pemimpin Pakatan Rakyat yang membuat kenyataan “mungkin” seperti itu. Pasti mereka sudah dituduh mengada-adakan cerita yang belum disahkan. Malah pemimpin Pakatan Rakyat akan ditangkap dan diheret ke mahkamah. Dan beberapa orang sudah pun ditangkap polis atas tuduhan-tuduhan yang pelik dan ganjil serta tidak munasabah.

Inilah gaya polis dan kerajaan Malaysia. Mereka boleh berbuat apa saja yang mereka suka.

Gambar dan manipulasi

Tuduhan yang mengatakan Bersih memanipulasi gambar dan video di Youtube dengan niat memberi imej buruk terhadap pihak kerajaan dan polis juga tidak masuk akal, ia hanyalah “manipulasi” kerajaan.

Pertama, apa yang telah dirakam dan di siarkan itu adalah kebenaran yang dirakam secara spontan oleh peserta perhimpunan itu. Malah sebelum menyertai perhimpunan itu lagi pihak penganjur Bersih sudah menasihatkan agar sesiapa yang mempunyai kamera atau apa saja alat rakaman, mesti merakam kejadian itu.

Tujuannya bukan untuk manipulasi, sebaliknya ia penting sebagai bahan bukti. Bukankah polis memerlukan bahan bukti jika ada pertuduhan atau dakawaan? Jadi mengapa pula semua ini mereka tuduh sebagai memanipulasi rakaman audio visual?

Lihat bagaimana permainan kerajaan dalam isu “manipulasi” ini.

Kita semua tahu bahawa bukti rakaman itu bukan untuk memburuk-burukkan kerajaan atau polis, sebaliknya ia sebagai bahan bukti jika wujud sebarang kejadian salah guna kuasa atau keganasan oleh mana-mana pihak termasuk polis sendiri.

Tetapi apa yang berlaku amat pelik. Seolah-olah, apa saja yang kita buat, semuanya salah. Ada bukti salah, tak ada bukti pun salah.

Kedua, Berita Harian dalam edisi mingguan pada muka depan yang disiarkan pada sehari selepas perhimpunan Bersih, telah memaparkan gambar besar yang menggambarkan seorang peserta perhimpunan aman membawa senjata pisau.

Tetapi mujur, yang ampunya diri mendedahkan bahawa yang dikatakan pisau itu adalah bendera Malaysia, Jalur Gemilang, yang sedang dipegangnya. Pendedahan ini disertakan dengan bukti dan dokumentasi bagi menjelaskan apakah alat sebenar yang dikatakan senjata “pisau” itu

Berita Harian sebaliknya diam membisu dan langsung tidak meminta maaf kepada rakyat atas pembohongan itu.

Jadi dalam hal ini, siapakah yang sebenarnya memanipulasi gambar?

Sudah banyak terjadi di Malaysia, UMNO dan BN yang menuduh, mereka itulah yang buat.

Lihat saja kes tuduhan komunis dan cauvinis ke atas DAP, tetapi UMNO sendiri yang membuat hubungan rapat dengan parti komunis di China.

Tuduhan Anwar meliwat dan melakukan zina, tetapi hingga hari ini gagal dibuktikan. Tetapi semua tahu bahawa Rahim Thamby Chik dan beberapa orang pemimpin UMNO pernah ‘kantoi’.

Tuduhan demi tuduhan

Kini muncul lagi berita yang menuduh para peserta perhimpunan Bersih sengaja berlakon, kononnya Mohamad Sabu yang patah kaki dihimpit kerea polis didakwa berlakon, Anwar Ibrahim yang jatuh dan dirawat di hospital bersama pengawal peribadinya yang dicederakan didakwa berlakon, Lim Kit Siang yang menjadi salah seorang mangsa pertama ditembak gas pemedih mata pun didakwa berlakon.

Skrip UMNO-BN semakin tak keruan. Ada yang kata Bersih itu revolusi Anwar, ada yang dakwa Bersih ditaja oleh Kristian, komunis, Yahudi dan entah macam-macam lagi. Silap-silap ada pula yang mungkin menuduh Bersih ditaja oleh syarikat pengutip sampah.

Semua gambaran tentang Bersih ini amat buruk dan jijik sekali. Yang menuduh pula mungkin menganggap diri mereka yang paling maksum dan baik.

Malah ada pula yang bijak mengatakan “jika FRU itu ganas, pasti ramai orang yang masuk hospital”. Kenyataan ini bukan menunjukkan polis atau FRU itu baik, sebaliknya mengesahkan bahawa memang wujud keganasan, tidak kira kepada seorang, dua orang, atau sepuluh orang. Keganasan tetap satu keganasan.

Bertambah besar bohong ialah apabila selepas perhimpunan Bersih, polis dan menteri menafikan sekeras-kerasnya bahawa terdapat serangan gas pemedih mata di Hospital Tung Shin walau pun beratus-ratus orang yang berada di tempat kejadian dan ramai pula yang menjadi mangsa gas itu adalah saksi-saksi.

Makna di sebalik tuduhan dan penafian

Melihat dari “persembahan” polis tentang Hospital Tung Shin ini, kita sebagai rakyat biasa, amat sukar untuk menerima penafian bagi kes-kes yang lain.

Jika polis dan kerajaan membenarkan perhimpunan aman Bersih ini berjalan sepertimana yang telah dirancang, dan disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong, pasti semua dakwaan, kematian dan kecederaan dapat dielakkan.

Malah kredibiliti pihak polis tidak akan terjejas, sebaliknya bertambah baik.

Keadaan ini menyamai dengan kes TBH, apa salahnya jika mendiang disiasat elok-elok dan berhati-hati mengikut peraturan dan budi bicara yang baik. Pasti Polis dan SPRM tidak akan melakukan kesilapan yang sama dan berulang-ulang.

Namun di negara di mana kerajaan menganggap minta maaf sebagai satu kelemahan, kesalahan yang dilakukan pihak berkuasa sering ditutup. Yang ada cuma menteri yang bernama Rais Yatim yang mahu menayang video polis yang telah disunting untuk menunjukkan “kebaikan” polis sahaja, secara berulang-ulang di kaca TV.

Rais nampaknya masih menyangka dunia ini dibahagikan oleh blok Komunis dan blok Barat sewaktu zaman Perang Dingin. Mungkin Rais tidak sedar bahawa sudah ada teknologi yang bernama internet, telefon bimbit dan sebagainya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: