Rabu, 6 Julai 2011

Kanak-kanak kembar perempuan rentung berpelukan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA TERENGGANU — Pasangan kembar perempuan berusia tiga tahun ditemui rentung dalam keadaan berpelukan selepas rumah mereka di Kampung Durian Mas, Manir di sini musnah dalam kebakaran pagi semalam.

Norfatin Fazanah Hamid dan Norfatin Fazana ditemui dalam timbunan kain di bilik mereka di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat sejurus memadamkan kebakaran yang bermula kira-kira 9.18 pagi.

Bapa mangsa, Hamid Mustafa, 44, berkata ketika kejadian dia tidur di ruang tamu dan hanya menyedari mengenai kebakaran itu setelah dikejutkan sepupunya Wan Norizan Wan Ismail, 40, yang duduk berjiran dengannya.

“Saya hanya menyedari kejadian selepas sepupu menjerit rumah saya terbakar dan saya memanggil kedua-dua anak tetapi gagal menemui mereka,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurut laporan Berita Harian hari ini, Hamid yang menghidap penyakit epilepsi tidak menyangka kerenah anak kelima dan keenam itu meminta dihantar ke klinik setelah demam dua hari adalah petanda mereka akan pergi untuk selama-lamanya.

“Sebelum tidur, anak ada menyuruh hantar ke klinik sebab demam dan mereka ada memberitahu nak ke klinik dan tidak mahu balik lagi,” katanya.

Ibu kanak-kanak itu, Suriani Sulong, 40, yang ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah pula berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas mendapat panggilan telefon daripada seorang rakan kira-kira 9.30 pagi yang menyatakan rumah saya terbakar,” katanya dengan sayu dan kelihatan masih kebingungan dengan kejadian malang itu.

Katanya, pasangan kembar itu sempat memintanya mencium mereka sebelum dia keluar bekerja kira-kira 7.30 pagi.

Pasangan suami isteri itu mempunyai enam anak terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan berumur antara tiga hingga 18 tahun.

Bagaimanapun kerana kesempitan hidup, dua daripada anak mereka iaitu berusia 11 dan 17 tahun tinggal dengan saudara di Kemaman.

Tiada ulasan: