KUALA LUMPUR— Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata Islam menuntut agar hak penganut agama lain tidak dinafikan termasuk semasa bulan Ramadan.
Enggan mengulas dasar kerajaan negeri Kedah berkaitan operasi pusat hiburan yang menjadi isu sejak minggu lalu, Nik Mustapha berkata sepatutnya semua agama harus menghormati hak antara satu sama lain.
“Kita harus menghormati antara satu sama lain, bulan Ramadan adalah bulan keemasan, bulan ibadah, bulan yang sangat mulia dan istimewa.
“Sudah pasti... tapi hak agama lain itu kenapa nak dinafikan, kita harus menghormati antara satu sama lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar al-Quran dan Cabaran Pluralisme Agama: Pengajaran Masa Lalu, Keperihalan Semasa dan Hala Tuju Masa Depan di sini.
Beliau juga berkata Islam menuntut umatnya agar sentiasa menghormati penganut agama lain memandang ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau hari Ahad, penganut Kristian ke gereja... tak akan saya nak main muzik kuat-kuat? Itu bukan amalan kita, kita perlu menghormati antara satu sama lain.
“Kita nak wujudkan masyarakat yang muhibbah dan menghormati antara satu sama lain, kalau tiada muafakat macam mana kita nak membangun, senario sekarang memerlukan kita berhadapan dengan pelbagai cabaran,” katanya.
Kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997, yang digubal ketika era Barisan Nasional sepenuhnya tahun ini.
Menteri Besar berkata, peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di Kedah tertakluk kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997, dan bukannya satu dasar baru.
Ekoran polemik sejak beberapa hari lalu, kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu membenarkan pusat hiburan di Kedah beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadan, namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan kekeliruan telah berlaku berhubung perkara itu ekoran media arus perdana yang tidak menyiarkan laporan tepat sehingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.
Mengulas mengenai penganjuran seminar itu, Nik Mustapha berkata, agama Islam tidak menuntut menzalimi hak penganut agama lain.
“Islam mengajar kita menghormati agama lain, Islam bukan untuk menzalimi... kita harus menghormati antara satu sama lain.
“Yang penting kita mesti menghormati penganut agama lain, kalau ada sebarang perbezaan pendapat kita boleh cari jalan penyelesaian dengan berbincang atau berdialog,” katanya.
Namun tegas beliau, itu tidak bermaksud Islam boleh disamatarafkan dengan agama lain.
Seramai 200 peserta terdiri daripada ahli akademik, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian menghadiri seminar dua hari itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan