KUALA LUMPUR— Satu lagi perbuatan menyimbah cecair, seolah-olah asid, berlaku di Seksyen 10 Wangsa Maju di sini hari ini, kali ini mangsanya seorang wanita berusia 30-an.
Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, wanita berkenaan berada di dalam sebuah kereta dan menurunkan cermin kenderaannya sebelum disimbah cecair oleh seorang penunggang motosikal.
Dipetik Bernama Online, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Logistik PDRM berkuat kuasa kelmarin berkata, cecair itu tidak melecurkan kulit tetapi menyebabkan gatal.
“Polis masih menyiasat sama ada kejadian ini ada kaitan atau persamaan dengan kejadian simbah asid yang dilaporkan sebelum ini,” katanya hari ini.
Zulkifli berkata setakat ini terdapat 22 kes seumpama itu dan polis akan menyiasat sama ada ia dilakukan oleh individu yang sama atau tidak.
Beliau berkata walaupun gambaran suspek telah diperoleh, siasatan lebih terperinci masih dijalankan untuk menahan suspek yang sebenar.
“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kami masih menganalisis kamera litar tertutup (CCTV) kerana kita mahu menahan orang yang benar-benar bersalah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan