1. Kebelakangan ini, Utusan Malaysia bagai di"rasuk" dengan persembahan headline yang agak liar dan bersifat provokatif tanpa mengambil kira kesan langsung yang bakal dihadapi oleh negara dan rakyat seluruhnya. Jelas kelihatan seperti Utusan Malaysia tidak sabar - sabar mahu menunjukkan wajah sebenarnya sebagai alat misionery pihak tertentu apabila Utusan Malaysia bukan sahaja sanggup mengenepikan etika kewartawanan yang bernilai tinggi tetapi tergamak mempalit wajahnya dengan laporan bertaraf jalanan dan berita bertaraf lucah.
2. Saya tidak menafikan seketika dulu, Utusan Malaysia pernah menjadi akhbar terbilang di rantau ini , namun malang sejak mutaakhir ini prestasinya menjunam teruk dengan taraf dan standard berita yang kian runtuh etika dan susut nilainya pada mata masyarakat berinformasi. Tagline Utusan Malaysia "Pemangkin Fikiran Rakyat" kini menjadi "Pencelaru Fikiran Rakyat".
3. Nilai dan etika kewartawanan seperti benar, tepat, berinformasi, bertanggungjawab dan sebagainya tidak lagi menjadi prinsip utama dalam melaporkan berita kepada masyarakat umum. Sebagai contoh laporan berita bertulis dan bergambar mengenai video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang disiarkan dengan cara yang sangat tidak bermoral bagi sebuah akhbar yang kononnya menjadi pemangkin fikiran rakyat sedang pihak yang ditohmah belum didakwa, disiasat dan dibuktikan bersalah. Malah mana - mana pihak yang didapati bersalah sekalipun, tidaklah wajar kisahnya dipaparkan kepada umum, inikan pula paparan yang bermaksud untuk mengaibkan, menjatuhkan maruah serta menghina.
4. Negara kita ada undang - undang dan peraturan sementara negara juga memiliki pendakwaraya, mahkamah dan hakim. Kenapa Utusan Malaysia pula yang mengambil alih tugas sebagai pendakwaraya, mahkamah dan hakim. Negara akan runtuh peradabannya jika perkara ini dibiarkan berlarutan dan berleluasa.
5. Terkini Utusan Malaysia menyiarkan berita mengenai kononnya terdapat usaha untuk mengkristiankan negara dengan menjadikan Kristian sebagai agama rasmi. Lebih malang, berita itu hanya dipetik dari sebuah blog yang tidak bertanggungjawab. Tanpa mempedulikan implikasi dari laporan yang dibuat, Utusan Malaysia akhirnya menjatuhkan tarafnya dan duduk sama ranking dengan blog nyamuk.
6. Tika ini, blog tersebut telah memadam postingnya berkait isu ini dan Utusan Malaysia menerima tamparan hebat dari semua pihak termasuk dari MCA yang menjadi sekutu dan kompenan Barisan Nasional apabila dianggap tidak berhati - hati membuat laporan malah dilihat gelojoh tidak menentu hala dalam membuat serangan kepada ppihak pembangkang. Hilang rasional dan kematangan sebagai sebuah akhbar yang berusia dalam negara ini.
7. Sebahagian rakyat mula menunjukkan reaksi mual dan tidak selesa mereka terhadap sikap dan pendekatan Utusan Malaysia pada hari ini. Layaknya Utusan Malaysia menjadi "Pemangkin Fikiran UMNO" bukan "Pemangkin Fikiran Rakyat". Justeru ia kini menjadi 100% lidah rasmi UMNO bukan lagi menjadi media umum yang perlu diakses oleh seluruh rakyat. Sebaliknya Utusan Malaysia dicadangkan agar ditulis besar pada penjuru kirinya : "Untuk Ahli UMNO sahaja".
8. Saya percaya, andai trend ini kekal dan berlarutan, Utusan Malaysia akan kehilangan pembeli dan pembaca popularnya dan Sinar Harian akan menjadi tumpuan masyarakat teramai dan hitnya akan jauh mengatasi Utusan Malaysia.Tinggallah Utusan Malaysia dengan keangkuhannya dan ditindih perasan serta syok sendiri yang ketara.
9. Sementara tidaklah mengapa jika Utusan Malaysia mahu mengkritik pembangkang biarpun secara demokratiknya keadaan masih berat sebelah, tetapi biarlah benar, tepat dan berfakta. Jika tersilap, segera memohon maaf dan siarkannya secara terbuka pula.
10. Saya tidak perlu menjadi konsultant percuma buat Utusan Malaysia justeru usia mereka di arena kewartawanan ini sayugianya mereka mampu menilai dan dewasa dalam bertindak. Saya sendiri mula diserang rasa rugi membeli Utusan Malaysia yang mula merosot teruk nilai informasinya. Utusan Malaysia kini hanya sarat dengan laporan bersifat provokasi, lucah, berita jenayah dan hiburan. Sementara laporan bernilai informasi yang membangun minda dan membina spiritual terlalu minima.
atau, ada insan yang tidak bersetuju dengan apa yang saya ungkapkan sejujurnya ini ?
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan