Selasa, 17 Mei 2011

Syarikat tawar caj emel 1Malaysia serendah 5 sen

Jamilah Kamarudin


Bekas CEO Permodalan Nasional Berhad menawarkan
pembinaan perkhidmatan jaringan sosial ala 'Facebook'
yang dikenali 'Govtbook'.






PETALING JAYA: Jika syarikat Tricubes Berhad mengenakan caj 50 sen terhadap agensi kerajaan bagi setiap emel 1Malaysia yang dihantar kepada pengguna, caj perkhidmatan menggunakan wang rakyat mungkin boleh dikurangkan jika kerajaan membuka tender projek ini kepada syarikat lain.

Ini kerana ada syarikat swasta lain yang lebih berpotensi sanggup menawarkan servis perkhidmatan yang sama seperti Tricubes namun dengan harga serendah 5 sen dan dalam masa yang sama perlindungan keselamatan data maklumat peribadi terjamin.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Modular Synergy Sdn Bhd Nazar Yakin berkata, tindakan kerajaan yang enggan membuka tender projek tersebut dipersoalkan walaupun banyak pakar teknologi maklumat (IT) tempatan berkemahiran ada.

Nazar berkata, tidak ada sebab kerajaan enggan mempertimbangkan sebuah syarikat yang hendak menawarkan harga 10 kali ganda lebih rendah daripada Tricubes dan pihaknya akan mengemukakan kertas cadangan secepat mungkin.

“Secara asasnya kita boleh letak apa saja jumlah yang kita mahu keranaini adalah urusan bisnes. Kita tak kenal mereka (kerajaan) jadi kita caj 5 sen,” katanya yang turut menawarkan caj secara percuma jika kerajaan mengenakan bidaan terhadap projek itu.

Katanya, keuntungan syarikat masih boleh tetap diperoleh walaupun caj serendah 5 sen dikenakan tanpa mengambil keuntungan yang besar daripada kerajaan.

“Jika Google boleh menawarkan khidmat emel secara percuma (kecuali pakej premium dengan harga USD5 setahun) kenapa tidak emel yang lain,” soal beliau dalam sidang media di ibu pejabat PKR Kelana Jaya di sini hari ini.

Selain itu, Nazar yang juga bekas CEO Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan pengasas Amanah Saham Nasional (ASN) berkata, pihaknya juga turut menawarkan pembinaan servis perkhidmatan jaringan sosial ala ‘Facebook’ yang dikenali ‘Govtbook’ bagi memudahkan orang ramai berinteraksi dengan perkhidmatan kerajaan.

Katanya, melalui ‘Govtbook’ orang ramai lebih mudah berurusan dengan pegawai kerajaan dan dalam masa yang sama menjamin tahap sistem keselamatan data peribadi.

“Kalau Facebook boleh dibina secara percuma kenapa tidak kami,” katanya yakin.

Sementara itu, Ahli Parlimen PKR Log Gwo-Burne berkata projek ini mungkin boleh dilaksanakan tanpa berbelanjan tinggi jika kerajaan tidak terlalu mementingkan kronisme untuk memperoleh keuntungan berlipat ganda dalam perniagaan walaupun ada banyak syarikat lain yang lebih berpotensi dan berminat menyertainya.

Projek Emel 1Malaysia bernilai RM50 juta, inisiatif kewangan persendirian, diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai satu antara tujuh projek baharu di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang akan dilancarkan Julai ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tricubes Berhad Khairun Zainal Mokhtar, mengesahkan agensi kerajaan akan dikenakan bayaran 50 sen bagi setiap emel yang dihantar kepada pengguna tetapi orang ramai tidak akan dikenakan sebarang bayaran.

Menurut Khairun, pengguna jugaa akan dikenakan bayaran tambahan jika mereka mahu perkhidmatan tambah nilai lain seperti email lebih ‘selamat’ dengan kemudahan ‘encryption’.

Sasaran Tricubes adalah mendapatkan purata 900,000 pengguna setiap bulan dan mendapatkan semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun menyertainya menjelang tahun 2015.

Namun syarikat Tricubes dikenal pasti sebagai syarikat bermasalah apabila tersenarai dalam Bursa Malaysia sebagai antara 12 buah
syarikat berstatus ‘GN3′ kerana keadaan kewangannya dalam keadaan “lemah” atau “buruk.”

Menurut garis panduan yang ditetapkan Bursa Malaysia, pengkelasan status GN3 itu akan membolehkan syarikat berkenaan mendapatkan bantuan daripada satu jawatankuasa untuk menstruktur semula hutangnya.

Penyenaraian Tricubes di Bursa Saham mungkin ditarik balik sekiranya syarikat itu gagal meyakinkan bursa berhubung pelan untuk melunaskan
kesemua hutangnya, namun dengan penganugerahan kontrak selama 10 tahun itu mungkin memberi nafas baru kepada Tricubes.

Tiada ulasan: